BACHOK: Seorang nelayan terpaksa menunggu lebih tiga jam di atas pokok
kelapa setinggi 15 meter dan terpaksa melupakan hasrat untuk minum air
kelapa muda apabila dia tidak dapat turun dari situ dipercayai akibat
sesak nafas.
Shamsudin Husin, 52, dari Kampung Changgong berkata, ketika jam baru
sahaja menunjukkan 12 tengahari dan dia baharu sahaja pulang dari
menangkap ikan di laut.
Dia kemudiannya memanjat pokok kelapa yang terletak beberapa meter dari
rumahnya untuk mendapatkan kelapa muda untuk dijadikan santapan
tengahari bersama nasi.
“Saya hanya sempat jatuhkan sebiji kelapa sahaja sebelum rasa sesak
nafas dan kaki kejang. Seluruh anggota badan saya rasa lemah dan saya
tak dapat turun.
“Kemudian saya menjerit maklumkan budak- budak di bawah untuk minta
bantuan. Dua remaja iaitu Zahasmi Zamburi,20, dan Fadil Ismail,22, naik
ke atas untuk membantu. Mereka naik berikan saya nasi dan air.
Saya makan di atas pokok sementara menunggu bomba datang. Saya ucapkan
terima kasih kepada pihak bomba dari Kota Bharu yang datang selamatkan
saya tadi,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Shamsudin berkata, sebelum ini dia tidak pernah memanjat pokok kelapa
itu dan kali ini hatinya tergerak untuk memanjat sendiri pokok bagi
mendapatkan kelapa muda.
Difahamkan, Shamsudin yang tinggal sendirian di sebuah rumah berdekatan
pantai Kampung Changgong itu adalah penghidap darah tinggi dan gastrik.
Manakala, operasi menyelamatkan mangsa dilakukan pasukan Bomba dan
Penyelamat Kota Bharu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zainuddin
Senawi bersama 10 anggota.
No comments:
Post a Comment