BANGI: Pertembungan dua aliran dalam PAS yang timbul setiap kali musim
pemilihan pucuk pimpinan pusat akan terhenti selepas keputusan proses
undian tersebut diumumkan, kata Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din.
Jelas beliau, meskipun umum melihat pertembungan ulama dan profesional
semakin memuncak menjelang muktamar tahunan PAS pada Jun namun secara
realiti itu bukan senario sebenar dalam parti itu.
"Yang sedang kita tempuh sekarang ini PAS dilihat oleh mata ahli-ahli
politik dan penilai politik tanah air digambarkan sebagai ada sedikit
perpecahan hasil dariPada gabungan yang berlaku dalam PAS iaitu ulama
dan profesional," katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
Namun katanya, pertembungan ulama dan profesional hanya hangat apabila
tiba musim pemilihan yang berlaku setiap dua tahun menambah kedua-dua
golongan itu saling melengkapi satu sama lain.
"Gandingan ini melahirkan satu rumpun insan masa yang berjuang
masing-masing saling melengkapi yang mana kekurangan yang sepatut
ditempuh oleh ulama dapat ditampung oleh profesional.
"Profesional pula yang pasti ada kekurangannya maka ditampung oleh
ulama, kalau itulah kita berjalan memanglah kita semakin hari semakin
mantap," katanya.
Pemilihan Jawatankuasa PAS diadakan setiap dua tahun dan bagi pemilihan
jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada Muktamar Tahunan
PAS Ke-61 yang dijangka 1 Jun ini.
Menjelang pemilihan parti, Preiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan
golongan ulama dilihat menjadi sasaran golongan profesional dan
Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).
Abdul Hadi dikatakan melihat golongan berkenaan sebagai terlampau
mendokong agenda Pakatan Rakyat sehingga mengabaikan perjuangan Islamiah
PAS.
Keadaan bertambah buruk apabila pendedahan yang terbaharu apabila
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu didakwa mahu menggulingkan Abdul Hadi
di dalam satu rakaman audio yang disebarkan secara meluas.
PAS sudah biasa dengan polemik profesional dan ulama
Dalam pada itu, Haron menambah dakwaan bahawa profesional mahu mengulingkan ulama tidak benar.
"Tapi dilihat dalam era yang terkini ini macam ada pertembungan antara
dua golongan sampai timbul tuduhan, telahan atau desas-desus yang
mengatakan bahawa profesional sudah nak menggulingkan ulama.
"Ulama tidak bertindak untuk menggulingkan profesional sebab kita faham pandangan mereka,"katanya.
Ekoran polemik yang timbul, ujar pengamal perubatan Islam ini lagi,
terdapat beberapa kawasan PAS bertindak menamakan calon lain untuk
mencabar Abdul Hadi pada pemilihan nanti.
"Kerana itulah sampai ada cadangan dan timbul keputusan daripada
beberapa kawasan yang mencalonkan calon baru untuk menandingi atau
mengambil alih tugas presiden.
"Tapi selama ini kita dengar hanya ada seorang yang juga ulama iaitu
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dicalonkan tapi dia awal-awak telah menolak.
"Ada juga yang mencadangkan Datuk Husam Musa dan tidak tahu lagi menerima atau menolak," katanya.
Namun tegas Haron, perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan kepada PAS
menjelang pemilihan pusat dan akan terhenti selepas diketahui pemenang
bagi setiap jawatan yang dipertandingkan.
"Apa pun PAS sudah biasa dengan hal-hal yang sebegini, PAS telah pun
menempuh hal begini dan kalau berlaku sedikit kebisingan ataupun
percikan politik ia akan berakhir apabila sampai kepada muktamar ada
pemilihan dan dapat keputusan daripada ahli-ahli yang hadir dalam
muktamar.
"Siapa yang menang pada ketika itu maka selesailah, biasanya akan selesai," katanya.
Untuk rekod, pada muktamar PAS tahun 1983, semua jawatan utama iaitu
presiden, timbalan presiden dan dua naib presiden adalah ulama. Selama
tiga dekad selepas itu, presiden dan timbalan presiden PAS adalah ulama.
Namun, pemilihan Mohamad atau dikenali 'Mat Sabu' sebagai Timbalan
Presiden PAS untuk dua penggal berturut-turut sejak 2011 mengalahkan dua
tokoh ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan kemudian Datuk Mohd Amar
Nik Abdullah mengubah senario.
Kedudukan Mat Sabu dalam parti dan popularitinya dalam kalangan
pemimpin PKR dan DAP membuka ruang lebih besar memperkukuh posisi
golongan bukan ulama dalam PAS.
No comments:
Post a Comment