Wednesday, April 22, 2015

Umno Permatang Pauh percaya perubahan bakal berlaku

 Oleh Nur Atiqah Abd Samad

 
Post Pic



SHAH ALAM: Umno Permatang Pauh percaya sentimen pengundi kawasan itu pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini bakal berubah ekoran rakyat sudah muak dengan politik keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apatah lagi desas-desus menyatakan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak perempuan Anwar, Nurul Nuha mungkin diangkat sebagai calon pada PRK 7 Mei nanti.

Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, bukan pengundi sahaja yang akan menolak Azizah atau Nurul Nuha, tetapi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat, iaitu PAS juga secara terbuka tidak bersetuju.

"Saya yakin keputusan nanti akan menterjemahkan kehendak orang Permatang Pauh yang sangat kecewa ataupun letih dengan politik keluarga yang berlaku di Permatang Pauh dalam tempoh 17 tahun ini.

"Sudah ada satu gerakan atau gelombang perubahan yang mungkin diterjemah dalam PRK kali ini. PAS secara terbuka menolak Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon dalam PRK kali ini.

"Dan apabila PAS buat kenyataan itu bermakna PAS menyedari bahawa majoriti pengundi Permatang Pauh sama ada dari Pakatan ataupun atas pagar tidak boleh lagi menerima apa saja alasan untuk mencalonkan Azizah," katanya secara eksklusif kepada Antarapos.

Awal bulan ini, Azizah ada menyatakan kesediaannya untuk menjadi calon di Permatang Pauh bagi menggantikan suaminya yang dipenjarakan selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Tambah Zaidi lagi, Azizah tidak wajar dicalonkan kerana mengambil kira faktor usianya yang sudah tua dan beliau juga merupakan ADUN Kajang.

Difahamkan penduduk di Kajang juga sering merungut kebajikan mereka diabaikan dan sehingga kini Azizah gagal menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda seperti yang dijanjikan beliau sebelum dipilih menjadi ADUN.

"Sebab mereka tahu dalam keadaan usianya yang dah 60 lebih (tahun), dengan tugasnya sebagai ADUN Kajang dan juga suaminya di penjara. Tidak mungkin Azizah boleh menjaga Permatang Pauh, Kajang, keluarganya, cucunya dengan keterbatasan waktu yang dia ada itu.

"Sedangkan sebelum ini dia tak boleh jaga Permatang Pauh, hari ini nak jaga dua kawasan," katanya.

No comments: