Sunday, April 19, 2015

PAS S'gor: Tiada plot guling k'jaan negeri

MALAYSIAKINI


 


PAS Selangor hari ini menafikan laporan yang mendakwa parti itu akan bekerjasama dengan Umno dan lima ADUN PKR akan melompat parti bagi membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Pesuruhjayanya Datuk Iskandar Samad berkata, tidak ada sebab untuk menukar menteri besar yang baru memandangkan PAS negeri itu dapat bekerjasama baik dengan Mohamed Azmin Ali.

"Orang ramai digesa agar tidak mempercayai berita bahawa PAS dan UMNO akan bergabung untuk membentuk kerajaan di Selangor. Menurut berita itu, lima ADUN PKR akan melompat untuk memastikan pakatan tersebut memiliki majoriti di dalam Dewan.

"PAS Selangor dapat bekerjasama dengan baik dengan Mohamed Azmin Ali maka tidak ada sebab untuk menukar menteri besar. Tambahan pula, PAS Selangor tidak akan sama sekali bekerjasama dengan UMNO," katanya dalam kenyataan media.

Portal Suara.TV melaporkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka kembali menerajui Selangor bagi menggantikan Azmin.
  
Portal itu turut memetik sumber sebagai berkata satu perjumpaan rahsia antara Abdul Khalid dan Hadi telah diadakan di Jakarta bagi membincangkan perkara itu.

Sehubungan itu, Iskandar yang juga exco kerajaan negeri berkata, berita tersebut berkemungkinan dibuat untuk menjatuhkan imej Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang muktamar parti pada Jun ini.

"Kemungkinan besar berita tersebut adalah bertujuan untuk menjatuhkan imej presiden PAS menjelang muktamar PAS bulan Jun ini. Walau bagaimanapun saya percaya ahli-ahli dapat membezakan di antara berita palsu dan berita tulin," katanya lagi.

Sementara itu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata beliau tidak tahu mengenai laporan yang mendakwa lima ADUNnya akan melompat parti dan bekerjasama dengan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi tujuan itu.


No comments: