Laporan Sinar Harian.
ALOR SETAR - Seorang daripada tiga suspek yang menjadi buruan polis
dalam kes samun kenderaan mewah berjaya ditangkap kurang 24 jam.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya ketika mengesahkan tangkapan itu berkata, suspek berumur 34 tahun ditahan sepasukan polis di sebuah hotel di Pulau Pinang, kira-kira jam 4 pagi tadi.
“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai lebih 15 rekod kesalahan jenayah lampau termasuk jenayah kekerasan,” katanya kepada media, hari ini.
Menurutnya, dua lagi suspek yang melarikan diri sedang diburu untuk membantu siasatan kes di Kuala Kedah dan Pendang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta mencuri kenderaan motor.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan polis Kedah memburu tiga lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan jenayah menyamun kereta mewah.
Menurut laporan itu, suspek yang memandu kereta Honda City pada mulanya diminta berhenti untuk pemeriksaan anggota polis.
Suspek bagaimanapun melarikan diri dengan mengundur kenderaan dan cuba melanggar kenderaan polis.
Mereka yang berumur sekitar 20-an hingga 30-an berjaya melarikan diri setelah berlaku insiden tembakan di sebuah stesen minyak di Kuala Kedah.
Tidak lama kemudian, suspek dipercayai melakukan samun dua buah kereta di Pendang dan Juru, Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment