SEMPORNA: Lebih 400 penduduk di Kampung Bangau-Bangau di sini hilang
tempat tinggal apabila 64 buah rumah yang didiami mereka musnah dalam
kebakaran awal pagi ini.
Kejadian itu berlaku kurang dua minggu selepas 233 rumah penduduk perkampungan air berkenaan musnah terbakar.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pada pukul 1.45 pagi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna, Fazizul Izham Borhan
berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.47 pagi
sebelum tiba di lokasi kejadian empat minit kemudian.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi, api marak dengan cepat dan telah memusnahkan hampir 85 peratus rumah di kampung tersebut.
“Ketika kejadian kita percaya penduduk kampung sedang lena tidur
sebelum keadaan menjadi kelam kabut apabila orang ramai bertempiaran
lari menyelamatkan harta benda masing-masing,” katanya ketika dihubungi
Mingguan Malaysia, di sini hari ini.
Dalam kejadian 25 Mac lalu, sebanyak 233 buah rumah musnah melibatkan
lebih 2,600 penduduk kampung berkenaan hilang tempat tinggal dan hidup
sehelai sepinggang.
Tambah Fazizul Izham, seramai 20 pegawai dan anggota termasuk dari
Balai Bomba dan Penyelamat Kunak terlibat dalam operasi tersebut.
Ujar beliau, pihaknya terpaksa menggunakan air laut untuk memadamkan
kebakaran ekoran pili air kampung itu terletak jauh dari lokasi.
Tambahnya, api berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan lain pada
pukul 3.33 pagi dan api dipadam sepenuhnya pukul 5.55 pagi.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan kesemua mangsa terlibat ditempatkan di Dewan Masyarakat Semporna,” katanya.
No comments:
Post a Comment