Wednesday, April 22, 2015

Muhyiddin Sudah Mula Berkias-Kias

shahbudindotcom


Kebelakangan ini Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin nampaknya sudah mula berkias-kias dalam ucapannya sedangkan sebelum ini beliau dikenali sebagai pemimpin yang selalu serius dalam penampilannnya.

Ahad lalu, dalam suatu program anti perang yang dihadirinya bersama Tun Mahathir,  Muhyiddin Yassin secara terbuka dan sambil tersenyum berkata, "anda tidak keseorangan dalam menyatakan kebenaran".

Ungkapan itu segera ditafsir sebagai jawapan kepada keluhan Tun Mahathir sebelum itu yang menyatakan beliau mungkin keseorangan dalam kemelutnya dengan Perdana Menteri, Najib Razak sekarang ini.

Walaupun ada yang mengatakan kata-kata Muhyiddin itu sebenarnya dalam konteks yang lain dan semata-mata berkaitan perang, bukannya dalam isu perselisihan antara Tun Mahathir dengan Najib, tetapi Timbalan Perdana Menteri itu juga menyebut "keberanian menyatakan kebenaran itulah yang menjadi imej bekas Perdana Menteri itu sejak menjadi doktor dan ketika menjadi pemimpin UMNO dahulu".

Jika Muhyiddin tidak suka ucapannya dikaitkan dengan pendirian Tun Mahathir, beliau tentu saja boleh menafikannya kemudian. Pejabat Timbalan Perdana Menteri juga boleh mengeluarkan penjelasan singkat mengenainya.

Tetapi, walaupun semakin banyak ia dikaitkan dengan pendirian politik dan seolah-olah sudah meletakkan dirinya bersama-sama Tun Mahathir, sehingga sekarang tiada satu pun penafian daripada Muhyiddin yang menyatakan beliau tidak gembira ucapannya telah ditafsir di luar konteks yang sebenarnya.

Maknanya, beliau rela dan mungkin juga gembira ia ditafsirkan demikian. Barangkali juga, itulah tujuannya.

Semalam pula ketika menghadiri program penyampaian anugerah untuk penulis, Muhyiddin sekali lagi melontarkan bait-bait ucapan yang boleh ditafsirkan ada kena-mengena dengan suasana politik yang sedang berlaku sekarang.

Beliau mengingatkan penulis agar sentiasa menyatakan kebenaran dan tidak sekali-kali menyebarkan kepalsuan dalam nukilan mereka.

Selain  berulang kali menyatakan keperluan berkata benar, Muhyiddin juga memetik sajak Sasterawan Negara, Dr Muhammad Salleh yang menekankan keperluan yang sama.

Jika sekadar ingin meningatkan penulis tentang kebenaran, apakah perlunya Muhyiddin berulang kali bercakap mengenai kebenaran itu, termasuk menyebut "kebenaran yang pahit" dan "pembohongan yang indah" dalam ucapannya?

Sekali lagi, ucapan beliau ini tidak sukar dikaitkan dengan kemelut politik yang sedang berlaku sekarang di mana kebenaran yang sering ditanya oleh Tun Mahathir berkaitan 1MDB, Sirul dan sebagainya, tetapi tidak pernah  mahu dijelaskan dengan jawapan yang sebenarnya.

Sebagaimana ungkapan "you are not alone" sebelum ini ditafsirkan sebagai sokongannya kepada Tun Mahahir, apakah saranan agar sentiasa menyatakan kebenaran kali ini bukan saja merupakan suatu pujian kepada bekas Perdana Menteri  yang kerap menulis di blognya mengenai kebenaran, bahkan juga cuba ditujukan kepada Najib agar menjawabnya dengan kebenaran juga?

Hakikat bahawa belum ada kebenaran dalam persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir semakin jelas bila mana beberapa pemimpin seperti Shafie Apdal dan bekas menteri, Syed Hamid Albar juga tampil menuntut kerajaan agar memberi penjelasan terperinci mengenainya.

Ini secara langsung memberi gambaran bahawa semua penjelasan kerajaan selama ini, termasuk oleh Najib sendiri melalui temubual dengan TV3, masih tidak memadai untuk merungkai segala kekusutan yang berbelit-belit dalam pemikiran rakyat.

Hanya kebenaran dan berani berkata benar saja merupakan jawapan yang terbaik kepada persoalan ini.

Dengan sudah dua kali berkias-kias ini, sampai bilakah beliau mahu berbuat demikian sedangkan Tun Mahathir mula agresif turun ke bawah menemui rakyat di mana program pertamanya akan bermula di Taman Melewati, Sabtu ini?

Apakah beliau mahu menanam banyak kiasan dulu, sebagaimana sifat semulajadi orang Muar katanya yang gemar berkias-kias dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya? 

No comments: