Tuesday, April 21, 2015

Gereja baru di Taman Medan tiada permit MBPJ

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Gereja baru di Taman Medan yang mencuri tumpuan banyak pihak semalam dilaporkan tidak mempunyai permit Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
 
Portal The Star Online melaporkan gereja yang terletak di unit rumah kedai itu tidak mempunyai lesen beroperasi sebagai tempat ibadat, serta tiada permit meletakkan salib pada bangunan itu.
 
"Lot kedai yang ditukar kepada tempat ibadat atau pusat meditasi mesti mematuhi Akta 133 Seksyen 70 (12) dan permohonan bertulis dengan aktiviti dinyatakan hendaklah dikemukakan untuk kelulusan," pegawai perhubungan awam MBPJ Zainun Zakaria dipetik sebagai berkata.
 
"Kita memerlukan pematuhan ini bagi memastikan keselamatan penduduk menggunakan bangunan itu," katanya menurut portal itu.
 
Bagaimanapun, katanya, belum ada permohonan bertulis dikemukakan gereja baru itu setakat ini, kata Zainun, sambil menambah yang wakil pihak rumah ibadat itu masih boleh berbuat demikian.
 
Beliau berkata semua tempat-tempat ibadat yang ingin memaparkan logo atau simbol pada bangunan mesti mempunyai permit majlis yang merupakan pihak berkuasa tempatan.
 
"Tidak kisah sama ada ianya (simbol) teratai, trident atau salib, permit majlis diperlukan," Zainun dipetik sebagai berkata.
 
Pada hari Ahad, kira-kira 50 orang berkumpul di luar gereja baru itu untuk menuntut agar salib yang dipasang di tingkat atas unit lot rumah kedai itu diturunkan.
 
Salib tersebut diturunkan pihak gereja beberapa jam selepas protes itu.
 
 

No comments: