Tuesday, April 21, 2015

Apakah KPN ada masalah dengan menteri KDN?

MSO


Percanggahan dalam mentafsir tindakan penduduk Taman Medan yang "berhoha-hoha" di hadapan gereja mendesak agar lambang salib di sebuah bangunan diturunkan, antara Menteri Dalam Negeri (KDN) Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, menarik dan sedikit mengejutkan campuran bingung.

Kenapa berlaku percanggahan dalam mentafsir kejadian itu antara Ketua Polis dan bosnya menteri KDN?  Apakah mereka mendapat maklumat berbeza antara satu sama lain maka pentafsirannya juga berbeza? Atau pun keduanya mempunyai kepentingan berbeza?

Khalid tidak menganggap tunjuk perasaan mendesak lambang salib itu di sebuah bangunan di Taman Medan itu diturunkan sebagai satu hasutan, dan ia hanya isu setempat yang bukan berunsur agama. Pandangan Khalid itu mengejutkan apabila Zahid pula mengatakan ia sebagai menghasut dan boleh disiasat dibawah Akta Hasutan 1948. Percanggahan ini besar, ia kontradik.

Tindakan Khalid yang tidak terus membuat siasatan berbanding dengan kes-kes lain sebelum ini dimana beliau sangat menunjukkan "kecekapan" dipersolkan, apa lagi salah seorang dalam kumpulan menunjuk perasaannya, adalah abang kandungnya Abdullah Abu Bakar. Apakah kerana abang terlibat maka Khalid bercanggah pendapat dengan Zahid? Dalam PRDM adakah SOP waris dipertahankan?

Percanggahan di antara kedua mereka itu mungkin sesuatu yang kecil bagi sesetengah orang. Tetapi bagi saya ia bukan satu insiden atau berlaku secara tidak sengaja. Di celeh-celah kejadian itu mungkin ada sesuatu yang tidak lancar dalam hubungan antara kedua mereka.

Apakah KPN kini bermasalah dengan menteri KDN? Selain daripada percanggahan dalam kes di Taman Medan itu, katanya sebelum ini berlaku ketidakteraturan dalam tindakan PDRM terhadap sebilangan pemimpin parti pembangkang.

PDRM dibawah Khalid katanya bertindak tanpa mempedulikan moral politik bosnya, Zahid sebagai menteri dan menjejaskan kredibiliti Zahid dimata umum. Misalnya taktik polis panggil mereka yang hendak dituduh dibawah Akta Hasutan 1948, kerana melancarkan himpunan "kitalawan" untuk diambil kenyataan, kemudian ditahan dalam lokap beberapa hari.

Taktik panggil kemudian soal tangkap dan sumbat ke dalam lokap tidak terjadi sebelum ini. Apa yang berlaku hanya bekas Ketua Polis menumbuk seorang pesalah dalam keadaan mata tertutup dan tangan bergari. Apakah lagak dan gaya Khalid sama dengan bekas ketua polis berkenaan, mengambil tindakan yang boleh dipersoalkan wibawa polis?

Dalam pada itu ada beberapa insiden lain melibatkan polis yang dikatakan kurang disenangi oleh menteri KDN itu. Salah satu ialah penangkapan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar yang kemudian dikurung di lokap di Jinjang. Katanya ada campur tangan menteri berkenaan agar, Nurul Izzah tidak diperlakukan demikian?

Apakah titik-titik percanggahan dan perbezaan itu memberi gambaran Ketua Polis Negara ada masalah dengan menteri KDN? Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku. Kes salib di Taman Medan itu menjadi petunjuk siapa lebih berkuasa antara KPN dengan menteri. Jangan pula selepas ini saya ditangkap. Tidak mahu aku.

No comments: