KELUARGA Allahyarham Amirul Ashraff Md Azhar, 22, penuntut Malaysia yang maut di Sydney, Australia akibat tergelincir dari bangunan kediamannya meminta orang ramai tidak mempercayai spekulasi negatif konon kematiannya akibat tekanan daripada kegagalan lima subjek pembelajaran.
Bapa mangsa, Md Azhar Abdullah berkata, dalam perbualan telefon, anak sulungnya itu ada memaklumkan gagal lima mata pelajaran namun tidak menyatakan sebarang kekecewaan atau tekanan sebaliknya memberitahu sudah membuat rayuan mengulangi semula subjek yang gagal itu.
“Memang dia ada maklumkan, dia gagal dalam lima mata pelajaran, namun dia dah membuat rayuan pada Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mengulangi semula mata pelajaran itu.
“Dia tidak nyatakan kekecewaan atau tekanan akibat kegagalan itu dan kami sekeluarga yakin kejadian adalah disebabkan kemalangan seperti yang dilaporkan pihak berkuasa negara berkenaan,” katanya ditemui di rumahnya di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Tekah, Taiping, hari ini.
Md Azhar berkata, berdasarkan maklumat, anaknya dikatakan tergelincir dari tingkat 23 apartmen yang diduduki bersama enam rakan.
“Saya difahamkan apartmen yang dia tinggal setinggi 27 tingkat dan dia terjatuh dari tingkat 23.
“Harap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi negatif yang boleh mengguris hati kami termasuk menyebarkan gambar kemalangan arwah,” katanya.
Menurutnya, dia menerima maklumat daripada MARA memaklumkan jenazah kini ditempatkan di hospital dan proses bedah siasat dibuat hari ini.
“Saya harap jenazah anak saya dapat segera dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Assam Kumbang, Taiping,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Junaidah Ahmad, 46, berkata arwah anaknya adalah harapan keluarga.
“Arwah pernah menjadi lima pelajar terbaik sepanjang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Balik Pulau dan kini adik-adiknya mengikuti langkahnya.
“Memang berat untuk kami terima namun ia adalah ketentuan Allah dan kami reda dengan pemergiannya,” katanya.
Katanya, pihak MARA ada menawarkan keluarga ke Australia untuk melihat dan menuntut jenazah namun pihaknya menolak berikutan masih lemah dan terkejut dengan perkhabaran duka itu.
“Saya dan suami nak berjalan pun terasa lemah kerana masih terkejut dengan kejadian ini.
“Biarlah kami menunggu di sini dan kami berharap agar jenazah dapat segera dibawa pulang ke sini,” katanya.
Berita berkaitan
• Amirul Ashraff disahkan tergelincir dari bangunan
• Penuntut kita maut di Sydney
No comments:
Post a Comment