Memaparkan catatan dengan label BELANJAWAN - 2019. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BELANJAWAN - 2019. Papar semua catatan

Khamis, 28 Februari 2019

Tiada keperluan mendadak untuk semak semula belanjawan – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 

KUALA LUMPUR: Tidak wujud sebarang keperluan mendadak untuk melakukan semakan semula Belanjawan 2019 susulan penyusutan harga minyak mentah dunia baru-baru ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata ini juga berikutan faktor turun naik harga minyak berkenaan.

“Ini bergantung kepada banyak mana penurunan (harga minyak) itu. Namun, kita tidak akan segera mengambil tindakan (semakan semula Belanjawan) kerana harga itu akan naik semula selepas mengalami penurunan.

“Kita hanya perlu bersedia apabila harganya naik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan persembahan teater Ola Bola the Musical 2019 bersama isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Harga minyak mentah dunia pada masa ini mencecah US$66 setong manakala Belanjawan 2019 dibuat berdasarkan harga minyak mentah pada paras US$70 setong.

Mengulas pengumuman Kabinet menetapkan had maksimum harga runcit petrol RON95 yang dikurangkan kepada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini, Dr Mahathir berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan mampu menyerap lebihan kos jika berlaku kenaikan harga itu di pasaran.

“Keputusan itu ditetapkan kerana kita boleh menyerap (lebihan) kos tersebut,” kata beliau.

Keputusan mengurangkan harga maksimum petrol RON95 itu diumumkan selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng keputusan itu juga sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pada Januari lepas, kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan dengan harga runcit petrol RON95 dihadkan pada RM2.20 manakala diesel pada RM2.18 seliter.

Harga runcit semasa petrol adalah RM2.08 seliter bagi RON95, RM2.38 seliter bagi RON97 manakala diesel RM2.18 seliter.—Bernama

Ahad, 23 Disember 2018

Belanjawan 2019 disemak jika harga minyak mentah susut - Lim

DENYUT REFORMASI

 
Kerajaan hanya akan menyemak Belanjawan 2019 jika harga minyak mentah susut kurang daripada US$50 setong, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Kementerian Kewangan menyediakan belanjawan berasaskan harga minyak mentah pada US$70 setong.

Harga minyak merosot ke paras terendah dalam tempoh setahun Selasa lepas, turun antara empat dan tujuh peratus sepanjang minggu lepas, diheret turun oleh kelembapan ekonomi dunia, selain kebimbangan terhadap lebihan bekalan dalam pasaran minyak.

West Texas Intermediate (WTI) turun di bawah US$47 setong manakala Brent susut ke paras US$56.
Punca kemerosotan mengejut itu disumbangkan oleh pelbagai faktor.

Peningkatan inventori minyak mentah selain unjuran pengeluaran minyak syal menjejaskan harga minyak, namun kejatuhan harga diburukkan lagi oleh jualan secara menyeluruh dalam sektor kewangan.- Bernama
 
 

Sabtu, 17 November 2018

SEKADAR BELANJAWAN ‘CETAK ROMPAK’- KHAIRY




Belanjawan 2019 yang dibentang kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai sebarang dinamika tersendiri apabila kebanyakan daripada inisiatif hanya meniru program kerajaan lama Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin berkata walaupun belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merupakan bajet terbesar dalam sejarah dengan jumlah keseluruhan bernilai 314.5 bilion, namun tiada sebarang pembaharuan yang diketengahkan.

Malahan menurut Khairy, terdapat juga program yang dicetak rompak daripada kerajaan BN namun dengan peruntukan yang telah dikurangkan.

“Banyak daripada program yang mereka umumkan adalah daripada program kita, Barisan Nasional. Banyak saya sebut ‘copy and paste’ dan kalau mereka segan sikit mereka tukar nama.

“Kalau dulu Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M), sekarang dipanggil Bantuan Sara Hidup, BASAH… Dulu dedak kering, sekarang dedak basah,” sindir Khairy.

“Dia tukar nama dan dia tak mampu nak beri jumlah yang sama. Hari ini kalau BN menang kita beri maksimum RM2000, tetapi dia menang, dia bagi maksimum seribu sahaja,” katanya dalam Wacana U3.0 di Menara Dato’ Onn pada Khamis.

Mengulas lanjut, Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata beliau pernah ‘menyarankan’ agar kerajaan PH meniru kesemua program BN tanpa rasa segan berikutan Belanjawan 2019 gagal mencakupi seluruh segmen masyarakat.



“Saya tegur dalam perbahasan, saya kata kalau nak copy paste janganlah segan, ambillah semua. Ini copy paste sikit dan ada yang tertinggal, contohnya bantuan untuk nelayan, petani, bantuan musim tengkujuh dan sebagainya, ini dia tidak bagi.

“BN bukan kita tiada kelemahan, tetapi bila mahu hasilkan bajet, kita senaraikan semua lapisan masyarakat supaya semua dapat dibantu,” ujar beliau.

Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO berkata kegagalan belanjawan itu turut ditegur oleh pemimpin PH sendiri yang merasakan bajet tersebut terlalu berpihak kepada golongan bandar.

“…Bukan saya sahaja yang cakap, Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sendiri dalam perbahasan tegur, janganlah lupa orang miskin luar bandar, janganlah lupa petani, jangan lupa nelayan, pekebun kecil.

“Ini teguran daripada ketua mereka sendiri, ada yang kata ini belanjawan Kuala Lumpur, belanjawan Damansara, untuk penyokong PH sahaja,” tegas beliau.


Khamis, 15 November 2018

Tukar tema belanjawan 2019 dari sejahterakan rakyat kepada sengsarakan rakyat

Kasthuri Jeevendran

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR – Walaupun dicanang sebagai belanjawan paling besar oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun hakikatnya Belanjawan 2019 disifatkan tidak berjaya membela golongan luar bandar khasnya kumpulan berpendapatan rendah dan miskin tegar.

Malah rata-rata bantuan yang diberikan oleh kerajaan terdahulu serta janji yang dibuat oleh kerajaan kini semuanya sudah dikurangkan, dihapuskan serta tidak dapat ditepati lagi kepada golongan luar bandar.

Menurut Ahli Parlimen Bera (BN), Datuk Seri Ismail Sabri, rakyat ternanti-nanti pembentangan bajet sulung PH dengan penuh harapan apakah insentif yang menguntungkan mereka selepas gagal menunaikan janji manifesto.

“Malah ketika pembentangan RM-11 (Rancangan Malaysia Kesebelas) juga, tidak ada apa-apa. Apabila pembentangan belanjawan kali ini, mereka masih tidak dapat apa-apa malah terus terpinggir dan diabaikan.

“Harapan mereka tersasar apatah lagi golongan masyarakat luar bandar ini sudah di himpit dengan kejatuhan komoditi yang teruk selain daripada kenaikan harga barang selepas pelaksanaan cukai SST dengan pemansuhan GST.

“Belanjawan 2019 ini langsung tidak menitikberatkan penderitaan yang dilalui oleh mereka, saya syorkan tema belanjawan ini d tukar, dari mensejahterakan rakyat tukar sahaja kepada mensengsarakan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Tambah Ismail Sabri, kerajaan seolah-olah lupa bahawa kumpulan luar bandar ini bukan sedikit sebaliknya mencecah sehingga 1.5 juta.

“Jika dicampur pula dengan keluarga mereka, jumlah mencecah sehingga 7.5 juta orang. Mengapa tidak pentingkan kehendak dan nasib mereka? Golongan yang terdiri daripada nelayan, peneroh getah, pesawah, pekebun kecil.

“Ada apa untuk mereka? Memang kita sedia maklum selepas itu kerajaan membuat pengumuman ada bajet tambahan yang belum diumumkan, tapi belanjawan yang asal itu bagaimana? Mengapa kepentingan dan fokus untuk mereka tiada?

“Para nelayan dan peneroh getah mengharapkan bantuan kos sara hidup masing RM300 dan RM200 itu mengapa dihentikan terutamanya ketika menghadapi musim tengkujuh?

“Mengapa pula keluarkan bantuan ini tidak perlu sebaliknya mereka cuma perlu bekerja dengan lebih keras lagi. Bagaimana mereka boleh turun ke laut ketika ianya bergelora?

“Apa yang pasti, ini bukan belanjawan yang diharapkan oleh rakyat yang di canang-canang oleh kerajaan harapan, kebajikan golongan luar bandar terabai begitu sahaja,” tegasnya. –MalaysiaGazette


Rabu, 14 November 2018

Di manakah peluang pekerjaan rakyat?

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI




KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan Belanjawan 2019 tidak menyatakan secara jelas dan terperinci mengenai jumlah keseluruhan peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan pada 2019 atau menjelang tempoh tertentu.

Menurut beliau, jumlah pekerjaan yang ditambah dalam sektor ekonomi juga menunjukkan penurunan yang ketara.

khairuddinattakiri
Jelasnya, jumlahnya pada Ogos 2018 ialah 14.1 ribu sahaja berbanding 19.2 ribu pada Julai 2018 iaitu menurun sebanyak 36% dan lebih merisaukan lagi, low-value added job terus mendominasi pasara kerja di negara ini berbanding pekerjaan berkemahiran sederhana dan tinggi.

Keadaan ini selain melambatkan usaha memacu ekonomi negara dengan lebih pesat, ia berpotensi memburukkan lagi isu pengangguran dalam kalangan siswazah.

"Kesannya para graduan terpaksa bekerja dalam sektor di luar bidang pengajian mereka dengan gaji yang rendah setara kelayakan SPM atau STPM sedangkan mereka mempunyai kelayakan degree, master dan PhD.

"Fenomena ini juga adalah suatu bentuk pengangguran iaitu ‘pengangguran terhormat’," ujar beliau semasa membahaskan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, semalam.

Khairuddin membentangkan, kadar pengangguran siswazah pada tahun lepas sahaja adalah sekitar 204,000 orang merangkumi sebanyak 40.5% daripada jumlah pengangguran secara keseluruhan dalam negara.

Tambah beliau, kerajaan memperkenalkan inovasi baharu dalam sektor ekonomi bagi menambah baik pasaran kerja di negara ini terutamanya meningkatkan peluang pekerjaan dan mendapatkan pendapatan tambahan seperti menerusi bussiness online dengan menyediakan kemudahan bagi mendapatkan pembiayaan, latihan dan menggunakan aplikasi tertentu.

Beliau memohon Kerajaan menyatakan secara tepat dan terperinci jumlah pekerja warga negara yang telah dan akan diberhentikan akibat kajian semula dan pembatalan projek- projek tertentu sejak Mei lalu.

Persoalan yang ditimbulkan beliau, bagaimana pula perlindungan dan pembelaan yang diberikan kepada golongan tersebut yang sudah pasti sedang tersepit dengan masalah pendapatan dan simpanan pada masa ini bagi menyara kehidupan diri dan keluarga. – HARAKAHDAILY



Isnin, 5 November 2018

Sarawak bentang belanjawan terbesar RM11.9 bilion untuk 2019

Ketua Menteri, Abang Johari berkata, RM9.073 bilion adalah 
untuk membiayai program di bawah RMK 11, termasuk inisiatif 
sosio-ekonomi dan transformasi luar bandar serta inisiatif 
ekonomi digital. (Gambar Bernama)

KUCHING: Sarawak akan meneruskan belanjawan yang tertumpu kepada pembangunan imbal dan luar bandar bagi merancakkan perkembangan ekonomi daripada jumlah peruntukan belanjawan sebanyak RM11.914 bilion bagi 2019, yang terbesar dalam sejarah negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, daripada keseluruhan peruntukan belanjawan berjumlah RM9.073 bilion, termasuk dana Persekutuan berjumlah RM0.260 bilion, dicadangkan untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2.841 juta untuk perbelanjaan operasi.

Abang Johari, yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi negeri berkata, dengan mengambil kira anggaran hasil berjumlah RM10.513 bilion dan jumlah cadangan perbelanjaan biasa RM10.391 bilion, peruntukan belanjawan 2019 dijangka mengalami lebihan RM122 juta.

“Negeri ini akan meneruskan dasar perluasan fiskal dengan 6 strategi utama dan melihat kepada aliran hasil utama yang baru, termasuk 5% cukai jualan produk petroleum mulai 1 Jan,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2019) pada sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbelanjaan pembangunan tahun hadapan dijangka mengambil kira projek mempunyai kesan tinggi dan kepentingan rakyat, terutama di kawasan luar bandar, komitmen untuk menyiapkan projek yang sedang berjalan dan keutamaan kepada perbelanjaan yang dikendalikan oleh kerajaan Persekutuan bagi rasionalkan kedudukan fiskalnya.

“Bagi 2019, sejumlah RM9.073 bilion dicadangkan untuk membiayai pelbagai program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, termasuk inisiatif sosio-ekonomi dan transformasi luar bandar, projek dan inisiatif di bawah ekonomi digital,” kata Abang Johari.

Daripada jumlah peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan, beliau berkata, RM8.813 bilion akan dibiayai oleh kerajaan Negeri, manakala RM260 juta oleh kerajaan Persekutuan menerusi pengembalian pinjaman dan bantuan.

Beliau mengulangi bahawa levi cukai jualan ke atas produk petroleum – minyak mentah, gas asli, gas cecair asli, baja kimia dan produk gas hingga cecair – adalah hak kerajaan Negeri seperti termaktub dalam perlembagaan Persekutuan.

Mengenai Belanjawan Persekutuan 2019, beliau berkata peruntukan bagi Sarawak berjumlah RM4.346 bilion hanyalah 7.94% daripada jumlah keseluruhan belanjawan pembangunan berbanding RM4.336 pada 2018.

“Belanjawan Persekutuan 2019, tidak mencerminkan peruntukan yang adil dan saksama kepada Sarawak, meskipun janji oleh Pakatan Harapan negeri ini bagi memastikan Sarawak dan Sabah akan mendapat 30% daripada peruntukan Persekutuan,” tambah beliau.

Bagi 2018, peruntukan berjumlah RM8.2 bilion diumumkan bagi belanjawan negeri ini, merangkumi RM5.745 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2.4816 untuk perbelanjaan operasi.

Ahad, 4 November 2018

Penoreh tidak mampu sedia keperluan harian

BASIRON ABDUL WAHAB

CAMERON HIGHLAND: Sekadar peruntukan RM50 juta bagi menampung kejatuhan harga getah dianggap pekebun tidak mampu mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan.
 
Ketua Muslimat Cameron Highlands, Dalmah Ismail berkata, penoreh getah yang ditemui sering merungut harga getah sekarang hanya RM2 sekilogram.
 
Katanya, penoreh berdepan dengan situasi itu sejak beberapa bulan lalu tanpa ada langkah berkesan dilakukan kerajaan.
 
“Keadaan menjadi lebih buruk apabila mereka terpaksa berhadapan musim tengkujuh sekarang yang akan berlarutan sehingga Januari depan.
 
“Kerajaan seharusnya memberi bantuan khas kepada pekebun kecil bagi meringan beban mereka dengan pendapatan yang tidak mampu menyediakan keperluan harian,” katanya di sini.
 
Baru-baru ini ketika membentang Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyebut kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta sebagai insentif pengeluaran getah bagi membantu pekebun kecil jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekg.

Dalmah juga berkata, harga getah sekitar RM2 sekilogram sudah lama dialami penoreh getah di daerah ini. - HARAKAHDAILY


Penduduk pedalaman ternanti-nanti agihan peruntukan RM5 bilion untuk Sabah

Bernama
Penduduk pedalaman ternanti-nanti agihan peruntukan RM5 bilion untuk Sabah
DI kawasan luar bandar, masyarakatnya mengharapkan akses jalan raya, bekalan air bersih, pembangunan pertanian dan akses jalur lebar kepada penduduk luar bandar. - Gambar hiasan
 
KENINGAU: Peruntukan lebih RM5 bilion kepada Sabah dalam Belanjawan 2019 sangat menarik bagi penduduk pedalaman negeri ini namun mereka juga masih ternanti-nanti bagaimana peruntukan itu diagihkan kelak.

Mereka masih tertanya-tanya sama ia akan memihak kepada kepentingan mereka terutama penyediaan infrastruktur asas yang amat mereka perlukan seperti bekalan air bersih, jaringan jalan raya,bekalan elektrik serta keperluan harian mereka.

"Tetapi Sabah perlu melihat perinciannya .. kita perlu tahu juga sama ada jumlah itu lebih memihak kepada rakyat khususnya untuk mengatasi masalah akses jalan raya, bekalan air bersih, pembangunan pertanian dan akses jalur lebar kepada penduduk luar bandar.

"Sebagai contoh, peruntukan RM50 juta untuk mengurangkan beban pekebun kecil getah kesan kejatuhan harga getah sangat kecil," kata Penasihat Pertanian Negara Prof (Adjung) Datuk Yap Yun Fook.
 
Yap berkata, peruntukan untuk tujuan itu (kesan kejatuhan harga getah) tidak memadai untuk mengatasi rungutan rakyat mengenai masalah harga getah yang sedang merudum setiap hari.

Setiausaha Agung Persatuan Dusun Peribumi Sabah (Peribumi), Rosanna Edeza pula berkata peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu pekebun kecil memperoleh persijilan minyak sawit mampan Malaysia (MSPO) sangat tidak mencukupi pada ketika masih ramai pekebun yang berminat untuk melibatkan diri dalam sektor perladangan sawit.

Anggota Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pekebun-Pekebun Kecil Pedalaman Sabah Ekok Amin pula berpandangan peruntukan lebih besar sepatutnya diberikan kepada usaha menangani kesan kejatuhan harga getah dan sawit kepada rakyat.

Justeru kata Ekok peruntukan RM5 bilion untuk Sabah itu sepatutnya sebahagiannya diagihkan untuk mencari kaedah lebih berkesan menangani kejatuhan harga komoditi getah dan sawit.

Seorang lagi anggota jawatankuasa persatuan berkenaan, Aneh Dalusim berkata kawasan pedalaman Keningau didominasi oleh pekebun getah dan sawit dan mereka amat bergantung kepada komoditi itu untuk keterusan hidup.

Namun katanya melihat kepada harga getah dan sawit hari ini, ia memberi gambaran bahawa masa depan pekebun kecil komoditi itu tidak menjamin masa depan mereka.

Aneh berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar menilai semula pengagihan peruntukan itu dengan mengambil kira nasib pekebun kecil khususnya di kawasan pedalaman Keningau. --BERNAMA. 
 
 

Golongan miskin tegar terpinggir dalam Belanjawan 2019 - Ahmad Zahid

Bernama
Golongan miskin tegar terpinggir dalam Belanjawan 2019 - Ahmad Zahid
ZAHID: Mereka adalah golongan miskin tegar dan dalam keadaan harga komoditi merosot, sewajarnya perhatian lebih diberikan kepada mereka.
 
KUALA LUMPUR: Penduduk luar bandar khususnya golongan petani, nelayan dan pekebun kecil tidak mendapat manfaat langsung daripada Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga presiden UMNO, berkata belanjawan tersebut tidak menyentuh secara khusus pakej untuk golongan berkenaan.
 
"Mereka adalah golongan miskin tegar dan dalam keadaan harga komoditi merosot, sewajarnya perhatian lebih diberikan kepada mereka," katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa UMNO Bahagian Padang Besar, di sini, hari ini.

Turut hadir timbalannya,Datuk Seri Mohamad Hasan, naib presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Terdahulu, Mohamad, dalam ucapannya, menyifatkan Belanjawan 2019 sebagai tidak adil kepada masyarakat luar bandar kerana banyak tumpuan diberikan kepada kawasan bandar. -- BERNAMA 
 
 

Jumaat, 2 November 2018

Inti pati Belanjawan 2019

MALAYSIA GAZETTE
xMGF02112018_PIX-BANGUNAN-KEMENTERIAN21-681x454
Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.


KUALA LUMPUR (Bernama): Berikut ialah inti pati Belanjawan 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Belanjawan 2019 bertemakan Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera.
  • Hutang dan liabiliti sebenar Kerajaan sehingga akhir Jun 2018 adalah RM1,065 bilion, iaitu hampir RM350 bilion lebih tinggi daripada jumlah yang didedahkan secara rasmi oleh Kerajaan terdahulu.
  • Perincian hutang ini merangkumi RM725.2 bilion hutang langsung Kerajaan Persekutuan, RM155.8 bilion komitmen luar jangka dan RM184.9 bilion liabiliti lain termasuk bayaran pajakan bagi projek Kerjasama Awam Swasta (PPP).
  • Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018
  • Kerajaan juga mendapati bahawa negara mungkin perlu membayar sehingga RM43.9 bilion lagi bagi menyelesaikan hutang 1MDB ini
  • Sehingga 31 Mei 2018, jumlah tunggakan bayaran balik adalah RM35.4 bilion, di mana tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah sebanyak RM19.4 bilion sementara tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM16 bilion.
  • Kerajaan unjur Keluaran Dalam Negara Kasara (KDNK) Berkembang 4.9 peratus pada 2019
  • Kerajaan akan membentangkan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal pada 2021
  • Kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan pada tahun depan
  • Kerajaan akan melaksanakan perakaunan akruan bagi menggantikan perakaunan asas tunai bermula 2021
  • Defisit fiskal 2018 dijangka mencapai 3.7 peratus disebabkan komitmen perbelanjaan kerajaan terdahulu
–BERNAMA