Pertarungan dalam pilihan raya umum akan datang adalah pertandingan kalah mati, bukan lagi mementingkan kuota atau pinjam meminjam kerusi
BANGI – “Tak ada guna pinjam meminjam kerusi jika calon diletakkan untuk bertanding tak boleh menang.
“Malah, kalau letak calon daripada MIC bertanding di Cameron Highlands baru-baru ini, pastinya kalah teruk.”
Demikian kata pendakwah bebas, Prof Dr
Ridhuan Tee Abdullah mengulas kenyataan Presiden MIC, S Vigneswaran
bahawa parti itu akan mengambil semula kerusi Parlimen Cameron Highlands
bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Semalam, Vigneswaran mendakwa kerusi
Parlimen itu hanya ‘dipinjamkan’ kepada calon Barisan Nasional (BN) –
bukan ahli MIC – bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK), 26 Januari
lalu.
“Seperti saya kata sebelum ini, kami
meminjamkan kerusi itu kepada BN. Kami dalam BN mempunyai persefahaman
mengenai ‘pinjaman’ ini. Walaupun kerusi itu kini dimenangi calon BN
Ramli Mohd Nor…Pada PRU akan datang MIC akan bertanding di sana,” kata
Vigneswaran.
Pada PRK itu, Ramli mencatat sejarah
menjadi wakil orang asli pertama menang kerusi Dewan Rakyat mengalahkan
calon Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti lebih besar apabila
memperoleh 12,038 undi.
Calon PH, M Manogaran mendapat 8,800
undi, manakala dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee
masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.
Menyifatkan MIC agak keterlaluan, Prof
Ridhuan Tee berkata, parti itu sepatutnya berterima kasih kepada rakyat
kerana masih memberi mandat kepada BN, walaupun calonnya bukan daripada
MIC.
“Tidak ada istilah pinjam kerusi dalam
PRU, PRK, yang penting calon berkenaan boleh menang atau tidak. Jika
dipinjamkan pun, tak boleh menang tak guna juga.
“Jika dikekalkan kerusi tradisi tapi
kalah teruk lagi tak guna. Persoalan pokok, boleh menang atau tidak,”
katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Pada masa sama katanya, MIC tidak perlu
kecoh berebut mana-mana kawasan pilihan raya kerana BN pasti akan
memberikan kerusi kepada mereka.
“Tapi jika ikut kuota pun, kalau tak
boleh menang, letak buat apa? Pertarungan akan datang adalah kalah mati,
boleh menang atau tidak. Bukan lagi soal kuota dan pinjam meminjam,”
katanya.
Bagaimanapun Ridhuan Tee berkata, umum
mengetahui, tidak ada satu pun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau
Parlimen yang majoriti pengundinya adalah kaum India.
“Kalau adapun di bawah 30 peratus. Masih
lagi minoriti. Bermakna, selama ini undi kepada calon India bergantung
kepada ihsan Melayu.
“Sebenarnya saya yakin MIC akan kalah teruk jika bertanding di PRK Cameron Highlands yang lalu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan