Khamis, 21 Februari 2019

PH cuba beli undi dengan bantuan bujang BSH, kata MCA

MALAYSIAKINI

   
Pengerusi MCA Selangor Ng Chok Sin membidas pengumuman pengembalian bantuan wang tunai bagi golongan bujang berpendapatan rendah di bawah program Bantuan Sara Hidup Rakyat sebagai percubaan "membeli undi".

"Jika bukan kerana pilihan raya kecil (PRK), kita mungkin tidak akan menyaksikan pemberian wang tunai ini dikembalikan semula," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini memansuhkan bantuan berkenaan dalam pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Selasa lalu mengumumkan bantuan bagi golongan berkenaan dikembalikan semula atas saranan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Bantuan wang tunai RM100 di bawah skim BSH itu diumumkan bagi golongan bujang seluruh negara dan bukan hanya penduduk Semenyih.

Bagaimanapun, Ng mempersoalkan alasan pengumuman berkenaan dibuat ketika kempen PRK Semenyih sedang berlangsung.

"Tidak mungkin PH tidak dicurigai apabila mereka mengumumkan bantuan wnag tunai BSH pada ketika ini," katanya.

Ng juga mendakwa bahawa Muhyiddin pernah membangkitkan perkara itu dalam ceramah di Semenyih selepas Lim membuat pengumuman berkenaan.

Dalam ucapan Belanjawan 2019 pada Nov tahun lalu, Lim mengumumkan setiap isi rumah berpendapatan di bawah RM2,000 akan menerima wang tunai RM1,000 di bawah program BSH.

Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 pula akan menerima bantuan berjumlah RM750; dan isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.
Kerajaan turut memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak beru
mur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

Bagaimanapun, dalam pengumuman berkenaan, golongan bujang berpendapatan rendah tidak disebutkan sebagai sebahagian penerima bantuan itu.

Tiada ulasan: