SAYA merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada
YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno, dan barisan Exco Pemuda Umno
atas kenyataan berani mengenai hal ehwal negara khususnya tentang isu
yang menjejaskan imej negara seperti 1MDB dan derma politik RM 2.6
bilion kepada Perdana Menteri.
Saya amat menghormati dan menghargai pandangan berani Ketua Pemuda yang
saya percaya dibuat berlandaskan prinsip kebenaran dan keadilan yang
teguh berpandukan ajaran Islam.
Saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih atas
sokongan saudara Khairy kepada kedudukan saya sebagai Timbalan Presiden
Umno yang dipilih oleh para perwakilan dalam pemilihan parti.
Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada
sahabat-handai, ahli-ahli Umno akar umbi dan rakyat Malaysia yang tidak
putus-putus memberikan sokongan, dorongan dan kata-kata semangat kepada
saya supaya meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran demi
menyelamatkan Umno, bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Saya menyokong sepenuhnya pendirian Pemuda Umno dalam meletakkan semula
Malaysia pada landasan yang betul. Saya ingin mengingatkan jika kita
gagal menangani kemelut yang melanda negara kita secara berani dan
berdepan atau “take the bulls by the horns”, saya bimbang Malaysia akan
terjerumus ke dalam kancah negara yang gagal (failed state).
Iklim ekonomi dunia yang tidak menentu, nilai ringgit yang semakin
merudum, kemelut politik yang luar biasa, kenaikan harga barang dan kos
sara hidup, kebanjiran warga asing yang tidak terkawal dan sentimen
pelabur yang dingin terhadap Malaysia merupakan bibit-bibit yang boleh
menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang gagal.
Mudah-mudahan ALLAH SWT menjauhi kita daripada sebarang malapetaka, na’uzubillahi min zalik.
Atas kesedaran inilah saya tidak putus-putus mengingatkan rakan-rakan
saya di dalam kerajaan supaya mengambil langkah-langkah pembetulan
dengan segera. Sebagai Timbalan Presiden Umno, saya menyampaikan
kebimbangan saya melalui platform parti, iaitu di dalam mesyuarat Majlis
Tertinggi (MT) dan ketika merasmikan mesyuarat-mesyuarat perwakilan
Umno bahagian yang saya dijemput hadir sebagai perasmi.
Saya lakukan ini kerana saya sayangkan Umno. Pemimpin datang dan pergi,
tetapi parti mesti terus kukuh dan utuh untuk meneruskan perjuangan
membela agama, bangsa dan negara.
Namun, malangnya terdapat segelintir individu di dalam Umno sendiri
yang lantang mengkritik saya. Lumrah apabila seseorang itu tidak lagi
berjawatan tinggi di dalam kerajaan, maka akan ada segelintir manusia
yang tidak lagi menghormati, malah mengecam kita.
Mereka ini ada antaranya yang pernah saya bantu ketika saya berada di
dalam kerajaan. Mereka menuduh saya menjadi pengkhianat, menuntut supaya
saya dihadapkan ke Lembaga Disiplin dan mendesak saya supaya meletak
jawatan.
Seorang Ketua Bahagian di Selangor antara yang paling kuat mendesak
saya meletak jawatan sedangkan ahli di bahagiannya sendiri menuntut dia
meletak jawatan. Semua ini dibuat semata-mata kerana saya bercakap benar
demi untuk menyelamatkan parti.
Kepada mereka ini ingin saya ingatkan. Sejarah sumbangan saya kepada
Umno cukup panjang. Saya telah berjuang di dalam Umno lebih 40 tahun.
Malah, ketika Umno diharamkan dahulu, saya mengambil tanggungjawab untuk
membina semula Umno di Johor sehingga Umno kembali kuat dan Johor
menjadi penyumbang terbesar kemenangan Umno dan BN dalam setiap pilihan
raya umum (PRU).
Saya juga tetap setia bersama parti ketika Umno menghadapi pelbagai
krisis. Jadi, janganlah terlalu mudah menuduh saya sebagai pengkhianat
dan mendesak saya meletak jawatan.
Namun, semua ini tidak akan mematahkan semangat saya, apa lagi
melemahkan daya juang saya untuk terus membela maruah agama, bangsa dan
negara.
Saya yakin bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang dihina selagi
kita berpegang teguh kepada ajaran Islam, menjadikan prinsip kebenaran
dan keadilan sebagai panduan dalam kehidupan dan dipimpin oleh pemimpin
yang amanah dan bertakwa kepada Tuhan.
Kepada ALLAH saya berserah.
Tan Sri Muhyiddin Yassin
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
No comments:
Post a Comment