MALAYSIAKINI
Pusat Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang (PPDHPP) hari ini menafikan
pusat pengajian itu dijadikan pusat penyebaran hadis palsu seperti yang
disebar di laman sosial.
Pengetuanya Mohamad Hanif Haron berkata penyebaran maklumat berunsur
fitnah itu memburukkan nama pusat pengajian yang beroperasi sejak akhir
tahun 2013 dan berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau
Pinang (JHEAIPP).
"Kami percaya penyebaran maklumat berunsur fitnah itu sengaja dilakukan
bagi menghalang usaha PPDHPP mengumpul dana RM1.8 juta untuk membeli
tanah seluas 2.1 hektar di Pokok Machang, di sini bagi dijadikan
bangunan pusat kami," katanya pada sidang akhbar di Tasek Gelugor hari
ini.
Sejak semalam dakwaan PPDHPP menjadi pusat penyebaran hadis palsu tersebar di laman sosial Facebook dan WhatsAapp.
Mohamad Hanif berkata Penasihat Kehormat pusat berkenaan ialah bekas Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Hassan Ahmad.
Beliau berkata pada masa ini terdapat 19 pelajar lelaki mengikuti kelas tahfiz di pusat itu.
Ditanya mengenai kutipan dana itu, Mohamad Hanif berkata pihaknya
memulakan usaha itu tahun lepas dan berjaya membeli tanah berkenaan awal
tahun ini dengan membayar deposit 10 peratus sebanyak RM200,000.
"Kami diberi masa enam bulan oleh pemilik tanah untuk menyelesaikan
bakinya dengan tiga bulan tanpa faedah dan tiga bulan berikutnya
dikenakan faedah enam peratus," katanya.
Beliau berkata orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian
melalui akaun CIMB Islamic 8602203376; Bank Islam 07043011037033;
Maybank 557410514185 atau Bank Rakyat 111221000202 atas nama Pusat
Pengajian Darul Hadis Pulau Pinang.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman Facebook Maahad Darul Hadis
Pulau Pinang atau hubungi 019-4037435 atau 019-4156411, katanya yang
meminta orang ramai tidak menyumbang menerusi akaun individu kerana
pusat itu tidak pernah mengutip dana menerusi individu.
- Bernama
No comments:
Post a Comment