SHAH ALAM - Pemuda Pas menyatakan bahawa pendedahan yang telah dibuat oleh bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman (SB), Datuk Abdul Hamid Bador adalah suatu pendedahan yang sangat memalukan kerajaan.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya percaya, bahawa maklumat yang didedahkan oleh Abdul Hamid pada sidang medianya kelmarin bukanlah satu maklumat mentah.
"Beliau telah berkhidmat selama 37 tahun di bahagian tersebut.
"Malah, Pemuda Pas melihat, ketegasannya di dalam isu siasatan 1MDB menjadi punca beliau ditukar ke Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ia sekali gus membuktikan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sudah hilang integriti.
"Pihak Najib kini jelas sanggup melakukan segala tindakan demi melindungi cerita sebenar di sebalik 1MDB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tegur Putrajaya: Bekas bos SB sedia hadapi risiko]
Terdahulu, Abdul Hamid dalam satu sidang media mendedahkan bahawa pertukaran beliau ke JPM adalah disebabkan 'tangan ghaib', selain menyatakan Putrajaya tidak mengendahkan 'perasaan' rakyat sekarang, selain cuba menyembunyikan maklumat sebenar mengenai isu 1MDB.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata, ketegasan Abdul Hamid meminta ‘pihak-pihak’ tertentu tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat sebenar berhubung 1MDB perlu diberi perhatian serius.
"Secara tidak langsung ia membangkitkan keraguan terhadap kebenaran dakwaan bahawa kerajaan sedang menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan rakyat dalam isu ini.
"Kenapakah pula Datuk Abdul Hamid sendiri ditukar ke JPM untuk mengisi jawatan yang belum diwujudkan lagi? Kenapakah urusan pertukarannya dibuat secara tergesa-gesa? Seolah-olah tidak sabar menunggu hari siang untuk mendengar ayam jantan berkokok," jelasnya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas bos SB dakwa saksi SRC disorok]
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata menerusi penjelasan Abdul Hamid sendiri menyatakan rasa tidak setuju terhadap penangkapan beberapa Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat di dalam menyiasat kes ini.
"Jika benar seorang pegawai tinggi Cawangan Khas sendiri tidak bersetuju dengan tangkapan ini, maka siapakah pemain sebenar yang sedang berperanan di negara ini?
"Oleh itu, Pemuda Pas mencabar kerajaan untuk bertindak menyatakan respons dengan segera terhadap pendedahan Datuk Abdul Hamid," katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata hakikatnya, pendedahan yang dibuat oleh beliau ini hanyalah salah satu manifestasi kebimbangan rakyat seluruhnya terhadap kemampuan kerajaan menyelesaikan isu yang menarik perhatian semua pihak ini.
"Tidak mustahil, kegagalan kerajaan mendapatkan kepercayaan umum terhadap kejujuran dan ketelusan inilah yang menyebabkan nilaian mata wang negara semain menjunam.
"Tiada lagi harapan untuk rakyat melihat kerajaan pimpinan Najib mentadbir dengan telus dan jujur. Pilihan berada di tangan rakyat untuk melangkah membina Malaysia yang lebih sejahtera," katanya.
No comments:
Post a Comment