Kes jenayah
KLANG - Seorang pengawal keselamatan maut manakala enam lagi cedera
selepas tiga pondok pengawal di sebuah taman perumahan di Bandar Bukit
Raja di sini diserang dan dibakar sekumpulan lelaki, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Ridzhuan Che Bi, 26;
manakala lima lagi pengawal keselamatan yang cedera adalah N. Arujunam,
64; Aziz Salim, 56; K. Muniandy, 61; A. Naagendran, 26 dan
S.Renganathan, 45.
Turut cedera seorang lagi yang dikenal pasti sebagai S.Kannan, 45.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Zailan Tasir
berkata, polis menerima panggilan kira-kira pukul 2 pagi tadi
memaklumkan tiga pondok pengawal keselamatan sekitar taman perumahan
Bandar Bukit Raja diserang dan dibakar sekumpulan lima lelaki yang tidak
dikenali.
Katanya ketika kejadian, Muhammad Ridzhuan yang berasal dari Pulau
Pinang sedang bertugas di sebuah pondok di taman perumahan itu manakala
kesemua mangsa yang cedera berada di dua pondok berasingan yang terletak
berhampiran.
"Siasatan awal mendapati dua pondok keselamatan dibakar manakala satu
lagi dipecah cermin tingkapnya. Punca kejadian dipercayai berlaku akibat
perebutan kawasan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata pihak forensik telah mengambil kesan darah dan tiga cap
jari di tempat kejadian dan siasatan awal mendapati kesemua tiga pondok
pengawal baharu didirikan di kawasan itu.
Katanya pengawal keselamatan yang maut terbakar dihantar ke Hospital
Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk bedah siasat, manakala enam
lagi yang cedera sedang menerima rawatan di hospital sama. - Bernama
No comments:
Post a Comment