SHAH ALAM: Kenyataan 'flip flop' Menteri Besar, Azmin Ali berhubung isu
penstrukturan semula industri air di Selangor hanya akan memberi kesan
buruk kepada negeri ini, kata Datuk Seri Dr Khir Toyo.
Bekas menteri besar Selangor itu berkata ini kerana isu tersebut sudah
berlanjutan lebih dua penggal namum ia masih belum dapat diselesaikan.
Bahkan, menurut Khir perkara tersebut menjadi lebih rumit apabila Azmin
gemar bermain politik dalam menyelesaikan isu kepentingan rakyat itu.
"Dia (Azmin) banyak berfikir secara politik dan itu masalah yang kita
hadapi sekarang. Soal air ini soal rakyat, mana-mana kerajaan pun kena
selesaikan perkara itu dengan segera.
"Janganlah dia (Azmin) cuba hendak tangguh-tangguhkan (penstrukturan
air Selangor) macam sekejap batal, sekejap tidak. Saya fikir kenyataan
flip flop ini tidak baik untuk kerajaan negeri Selangor.
"Sepatutnya masalah air ini lama dah selesai, ialah ianya sudah
ditangguh lebih dua penggalkan dan saya rasa Azmin kena tumpukan
perbincangan masalah ini secepat yang boleh," katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan mantan menteri
besar, Tan Sri Abdul Khalid agar Azmin Ali meletak jawatan sebagai
Menteri Besar Selangor sekiranya gagal menyelesaikan masalah rakyat
terutama penstrukturan semula air di negeri itu.
Khalid dilaporkan sebagai berkata, Azmin perlu berundur supaya Kerajaan
Selangor diketuai oleh individu yang lebih layak, pakar dan
berpengalaman yang setaraf dengan status Selangor sebagai negeri
termaju.
Mengulas lanjut Khir Toyo berkata sudah tiba masanya untuk Azmin
menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pentadbiran kerajaan negeri
daripada terus menerus berpolitik.
"Kita kena bagi peluang kepada dia sebab baru lagi (sebagai Menteri
Besar), tapi dah lebih 100 hari (pemerintahan Azmin) ini tak nampak
apa-apa perbezaan. Jadi, saya harap dia dapat tumpukan sepenuhnya kepada
pentadbiran kerajaan negeri daripada berpolitik," tegasnya.
Malah, Khir berkata Azmin perlu segera menyelesaikan perjanjian air ini
bagi mengelak pelabur lari meninggalkan negeri termaju di Malaysia ini.
"Tak boleh (bagi alasan lagi), sebab perkara ini (penstrukturan air)
sudah bermula dari zaman saya dan diteruskan oleh Khalid Ibrahim tapi
sampai sekarang tak selesai-selesai lagi. Jadi, sekarang isu air ini
sangat kritikal. Memang rakyat tak nampak, tapi kalau tengok dari segi
industri semua ramai dah tak melabur di Selangor kalau nak buka kilang
air tak cukup.
"Kita beritahu Azmin supaya cepat selesaikan masalah dan jangan 'ding dong ding dong'," tambahnya.
Kerajaan Selangor diberi tempoh sehingga 30 April ini untuk memberi
jawapan tentang pelanjutan tarikh akhir bagi Perjanjian Induk mengenai
penstrukturan semula industri bekalan air Selangor.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
berkata, jika gagal berbuat demikian, Kerajaan Persekutuan akan
menganggap bahawa Kerajaan Selangor tidak berminat menerima tawaran
mengenai langkah penyusunan semula itu dan pengambilalihan penuh
pemegang konsesi di Selangor seperti yang terkandung dalam Perjanjian
Induk.
Menurut beliau, selepas tarikh akhir itu, Kerajaan Persekutuan akan
mengambil langkah perlu mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2008
(WSIA) dan undang-undang berkaitan lain bagi memastikan kepentingan
negara dan kebajikan rakyat dapat dilindungi.
No comments:
Post a Comment