Saturday, April 18, 2015

GST jejas kesihatan warga emas

 
GST menyebabkan warga emas tidak mampu membeli lampin dewasa dan ubat-ubatan dan mereka terpaksa mengurangkan perbelanjaan.


izzah


PETALING JAYA: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan warga emas.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, GST telah menyebabkan kuasa beli golongan itu menurun mendadak kerana lampin dewasa turut dikenakan GST.

Malah, katanya, tidak semua ubat-ubatan bebas GST dan ini mendorong warga emas mengurangkan perbelanjaan sekali gus membebankan mereka yang kurang mampu.

“Majoriti warga emas yang saya temui mengeluh tentang kenaikan harga barang disebabkan oleh GST ini.

“Jelas, impak GST ini adalah lebih besar ke atas golongan yang berpendapatan rendah berbanding dengan golongan mahakaya, yang menunjukkan kegagalan kerajaan untuk memastikan rejim cukai yang baru ini sebagai rejim cukai yang progresif,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai menambah, golongan warga emas paling terkesan akibat GST kerana mereka tidak mempunyai pendapatan tetap dan tiada pekerjaan untuk menangung kos kehidupan harian.

Katanya, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah membuktikan harga barangan meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus lebih tinggi daripada harga dicadangkan kerajaan selepas GST.

Justeru, Nurul Izzah mendesak kerajaan segera membatalkan GST kerana terbukti ia membebankan rakyat.

No comments: