Exco Selangor V Ganabatirau berkata beliau tidak kisah jika kerjaya politiknya terancam ekoran pendiriannya berkenaan rancangan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam, berkenaan penukaran agama kepada Islam secara sepihak.
"Pendirian saya sangat jelas dalam isu ini. Keadilan dan kesaksamaan bukan milik mana-mana kaum dan agama, tetapi semua manusia.
"Walaupun ia akan menamatkan kerjaya politik, saya akan tetap dengan prinsip saya," katanya yang juga adun Kota Kemuning, di Facebook hari ini.
Kenyataan itu dua hari selepas beliau dan tiga lagi exco bukan Islam mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Dalam hantaran itu, Ganabatirau turut melampirkan gambar pertemuan itu.
Selain Ganabatirau, tiga lagi exco yang terbabit ialah Teng Chang Khim, Hee Loy Sian dan Ng Sze Han.
Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".
Terdahulu, rancangan untuk membentangkan rang undang-undang pindaan itu dikatakan gagal selepas Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim menamatkan sidang hanya selepas dua hari bersidang.
Rancangan untuk meminda perkara itu dilaporkan dimulakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tetapi tidak mendapat sokongan adun Pakatan Harapan (PH), yang sama ada membantah atau berbelah bahagi terhadap rancangan itu.
Selepas pertemuan empat exco itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari - yang pertama kali bersuara mengenai perkara itu - berkata memang ada usaha agar rang undang-undang itu dibentangkan pada akhir sesi yang lalu.
Katanya lagi, isu itu masih dibincangkan di peringkat kerajaan kerana ia membabitkan isu yang "lebih besar" serta Perlembagaan Persekutuan dan ada "kebijaksanaan" atas penangguhan pembentangan usul itu.
No comments:
Post a Comment