Saturday, August 10, 2019

Menteri: Peruntukan untuk gaji pekerja Bernama diguna untuk hal lain?

Kementerian Kewangan menyanggah kenyataan pengurusan Bernama berhubung kekangan kewangan agensi berita nasional itu yang bakal menjejaskan pekerjanya.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, kerajaan sentiasa memberi peruntukan mencukupi untuk pembayaran gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Emolumen dan gaji sentiasa diberi peruntukan yang mencukupi agar bayaran emolumen boleh dibayar dahulu berbanding bayaran lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan Malaysiakini semalam, pengurus kanan akaun dan kewangan Bernama, Syarifah Zaini Syed Zain berkata agensi itu berdepan masalah kewangan kerana belum menerima geran daripada kerajaan.

Bercakap di depan kira-kira 100 pekerja Bernama, Syarifah Zaini berkata kekangan itu menyebabkan gaji pekerja terpaksa dibayar menggunakan wang potongan untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) - menyebabkan caruman tidak dapat dibuat - dan menjejaskan bayaran pinjaman kereta bagi pekerja yang membuatnya melalui potongan gaji bulanan.

Syarifah Zaini berkata Bernama telah meminta Kementerian Kewangan menjelaskan mengenai kelewatan dalam membayar geran suku ketiga yang menurutnya lazimnya dibuat tepat pada waktunya sebelum pembayaran gaji.

CEO Bernama Nurini Kasim pula berkata kerajaan kini berdepan kekangan kewangan yang menyebabkan masalah itu.

Berkenaan kelewatan pembayaran geran, Lim mempersoalkan kenyataan Syarifah Zaini kerana menurutnya "satu dakwaan serius memandangkan fakta menunjukkan sebaliknya".

"Jika gaji Julai tidak mampu dibayar kerana tidak menerima geran dari kementerian, mengapa pula kementerian hanya terima surat permohonan bertarikh 19 Julai 2019 yang diterima pada 22 Julai?" soalnya lagi.

Beliau mempersoal sama ada wang yang diperuntukkan untuk bayaran emolumen, gaji dan caruman KWSP "dialihkan" pihak pengurusan Bernama untuk tujuan pembayaran lain.

"Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk memulakan sebuah siasatan untuk menentukan siapa yang harus bertanggungjawab ke atas kedudukan serius ini dan juga menyekat bayaran sumbangan KWSP agar tindakan sewajarnya boleh diambil," katanya lagi.

Lim berkata, dakwaan itu telah memburukkan imej kementeriannya yang sering dipersalahkan apabila ada kementerian atau agensi kerajaan gagal menguruskan kewangan dengan baik sehingga berdepan masalah seperti itu.

'CEO Bernama sudah dipanggil'

Dalam respon segera terhadap laporan Malaysiakini semalam, Bernama berkata semua masalah aliran tunai tertunggak telah diselesaikan dan agensi itu dalam proses menambah baik proses pengurusan kewangan.

Menurut kenyataan kepada Malaysiakini, Bernama berkata ia sebahagian daripada pelan rasionalisasinya.

"Bernama memberi keutamaan terhadap menjamin kebajikan pekerja seperti yang dijelaskan kepada pekerja ketika sesi town hall semalam (Khamis)," kata agensi itu.

Sementara itu, sumber dalam Kementerian Kewangan berkata Nurini telah dipanggil untuk memberi penjelasan berkenaan "kekangan kewangan" seperti yang didakwanya.

Kata sumber itu, Nurini disoal berkenaan sebab kegagalan agensi itu menguruskan kewangan mereka walaupun telah diberi peruntukan mencukupi daripada kementerian kewangan.

"Kementerian serius berkenaan hal ini. Kita ingin menyiasatnya secara terperinci kerana siasatan awal mendapati mungkin berlaku penyelewengan dana," kata pegawai tinggi kementerian itu yang enggan dinamakan.

"Mengalihkan dana daripada pembayaran seperti (caruman) KWSP, memotong gaji pekerja tetapi tidak menyalurkan wang kepada bak yang relevan bukan saja kesilapan besar tetapi boleh dianggap sebagai pecah amanah oleh pengurusan," katanya lagi.

Beliau menyuarakan kekecewaannya kerana menurutnya Kementerian Kewangan disalahkan walaupun telah memberi dana yang mencukupi melalui geran.

"Pengurusan membuatkannya seolah-olah ia salah kita tetapi sebenarnya ia jelas satu kes salah urus dana.

"Kita akan siasat ke mana wang itu pergi. Wang itu untuk kebajikan pekerja dan bukan untuk tujuan lain. Siasatan kita akan dibuat secara terperinci dan mereka yang terlibat mengalihkan dana akan dikenakan tindakan serius," katanya lagi.


No comments: