Sunday, August 4, 2019

MB Johor mohon maaf pada penduduk Pasir Gudang

MALAYSIAKINI

   

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal hari ini memohon maaf kepada penduduk Pasir Gudang yang terjejas akibat pencemaran udara di kawasan itu sejak 20 Jun lalu.

Sahruddin berkata terdapat beberapa perkara yang boleh diperbaiki bagi menangani insiden berkenaan.

“Sebagai ketua (kerajaan) negeri, saya dengan rendah diri memohon maaf kepada penduduk Pasir Gudang dan berjanji akan berusaha membaiki kelemahan sedia ada,” katanya ketika berucap pada Sesi Townhall Isu-Isu Semasa Pasir Gudang di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di Pasir Gudang hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah tersebut dan mengulangi bahawa kerajaan negeri akan mengambil tanggungjawab untuk mencegah kejadian daripada berulang.

Taklimat itu turut disertai oleh tiga agensi kerajaan iaitu Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pelajaran.

Menurut Sahruddin, kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah pencegahan untuk memastikan semua penduduk yang terjejas mendapat pembelaan sewajarnya.

Terdahulu, kira-kira 100 orang berkumpul seawal 9 pagi dipercayai untuk bertemu Menteri Besar Johor selepas mendapat tahu kehadiran beliau ke stadium berkenaan.

Harian Metro melaporkan seorang individu cuba untuk menghentikan kereta rasmi Sahruddin tetapi dihalang berbuat demikian oleh anggota polis yang bertugas di luar stadium.

Manakala The Star melaporkan protes itu dilakukan oleh ahli-ahli Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam (BBPIPA).

"Selain RM25 sehari, yang insurans diberikan kepada pelajar yang dirawat di hospital, tidak ada bantuan atau pampasan daripada kerajaan," kata Timbalan Pengerusi BBIPA Mohd Rafee Abdullah.

Beliau mendakwa pihak berkuasa tidak memandang serius isu kesihatan dihadapi penduduk dan pakar tidak terlibat secara aktif dalam menangani masalah itu.

Rafee juga mendakwa laporan oleh Jabatan Alam Sekitar dan agensi-agensi lain tidak didedahkan kepada umum.


No comments: