Monday, August 5, 2019

Malaysia patut maju dengan arus pemodenan bersama warisan Melayu

Sikap rasis, dendam ultra kiasu menjadi-jadi bantah tulisan jawi

siti hafidah  

 

Malaysia patut maju dengan arus pemodenan bersama warisan Melayu

BANGI – Tulisan jawi perlu dijadikan tulisan kebangsaan yang mana ia wajib dipelajari semua bangsa supaya perpaduan dalam negara dapat dicapai.

Demikian saranan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) susulan bantahan daripada beberapa pihak berhubung penambahan seni khat dan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular.

Terdahulu, dua pertubuhan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) serta pemimpin DAP membantah keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap penambahan seni khat dan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) akan terus digunakan sehingga tahun 2020.

Beliau menjelaskan tulisan jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak tahun 2016.

Mengulas mengenai bantahan kumpulan pendesak Cina dan pemimpin DAP, Ketua Media Muafakat, Haji Rashidi Haris berkata, sikap rasis dan dendam puak ultra kiasu semakin menjadi-jadi terhadap Islam dan Melayu dalam negara ini khususnya ketidakpuasan hati terhadap Perkara 153.

Justeru, bagi menangani sikap buruk berkenaan, beliau mencadangkan penggunaan satu bahasa, satu tulisan dan satu budaya untuk Malaysia seperti negara lain.

“Kita boleh lihat bagaimana Jepun mengekalkan tulisan Jepun sebagai budaya bangsa yang maju, begitu juga Korea, hatta China terus degil akan meletakkan tulisan Mandarin dalam semua produk keluaran mereka.

“Mereka bangga menunjukkan tamadun bangsa mereka maju seiring dengan kemodenan. Maka Malaysia juga sepatutnya naik dan maju dengan arus pemodenan bersama tulisan jawi.

“Oleh itu, Muafakat mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan, demi mencapai matlamat keseragaman bahasa dan bangsa. Amat bijak sekali, jika kerajaan menghapuskan semua tulisan lain dan menjulang hanya satu bahasa dan tulisan bangsa sahaja iaitu jawi,” kata beliau.


No comments: