Friday, August 9, 2019

Keluarga Adib tuntut peguam negara mohon maaf atas dakwaan hina mahkamah, kata peguam

Mohamed Haniff Khatri Abdulla (2 dari kanan) bersama barisan 
peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim.
 
SHAH ALAM: Keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim menuntut Peguam Negara, Tommy Thomas memohon maaf atas dakwaan beliau menghina mahkamah berhubung punca kematian anggota bomba itu.

Peguam yang mewakili keluarga Adib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata anak guamnya tidak meminta mahkamah memerintahkan Thomas dipenjarakan.

“Apa yang penting, sekiranya mahkamah mendapati beliau melakukan penghinaan mahkamah, kami cuma minta beliau sebagai peguam negara, minta maaf kepada mahkamah dan keluarga Adib, dan buat aku janji perkara seperti ini tak akan berulang,” katanya selepas pendengaran awal prosiding komital terhadap Thomas di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy yang mewakili Thomas ketika berhujah berkata, perintah komital adalah serius kerana hukuman yang boleh dikenakan terhadap perbuatan menghina mahkamah adalah pemenjaraan.

Pada 16 Julai lalu, Kassim memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas berhubung punca kematian anaknya.

Ia susulan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu menyatakan Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat serangan.

Koroner, Rofiah Mohamad menetapkan 21 Ogos ini untuk mendengar permohonan ex-parte itu bagi mendapatkan kebenaran merujuk Thomas kepada prosiding komital.

Beliau turut membenarkan peguam kanan persekutuan hadir dan berhujah dalam pendengaran permohonan perintah komital itu.

Bagaimanapun, katanya, peguam kanan persekutuan hanya boleh berhujah dari segi undang-undang membabitkan permohonan yang akan didengar secara “opposed ex-parte” itu.

Katanya, mahkamah tidak akan menerima 2 afidavit yang difailkan Thomas dan bekas pegawai pengendali inkues Adib, Hamdan Hamzah, sebelum ini.

Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.

No comments: