Melihat kepada cara bagaimana Najib Razak ditonjol dan cuba dipulihkan imejnya sejak akhir-akhir ini, jelas beliau mahu dijadikan Perdana Menteri sekali lagi sekiranya gabungan BN dan Pas berjaya memenangi pilihanraya umum akan datang.
Sekiranya usaha itu berjaya, bermakna Najib akan mengatasi pencapaian Tun Mahathir Mohamad dengan berjaya kembali sebagai Perdana Menteri hanya selepas lima tahun dikalahkan pada PRU14 lalu.
Meskipun Tun Mahathir tidak dikalahkan, tetapi kembalinya beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua ialah selepas 15 tahun melepaskan jawatan tersebut.
Setidak-tidaknya dengan berjaya mencapai kedudukan itu, Najib tentu saja akan merasaakan dirinya lebih hebat berbanding Tun Mahathir.
Tetapi, Najib dalam waktu yang sama juga sedang berdepan dengan banyak pertuduhan di mahkamah yang memungkinkannya akan merengkok di penjara lebih dulu sebelum itu.
Ramai yang percaya, selepas tidak mendengar nasihatnya, kemudian menjatuhkannya, Tun Mahathir dikatakan pasti akan menyumbat Najib ke dalam penjara.
Lagi pun, berhubung skandal 1MDB, memang itulah janji Tun Mahathir kepada rakyat Malaysia sebelum PRU14 yang lalu.
Dengan demikian, meskipun gabungan UMNO dan Pas dilihat ada kemungkinan untuk menang PRU15 akan datang, khususnya jika Tun Mahathir memungkiri janji peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, penjara adalah halangan yang tidak membolehkan Najib kembali sebagai Perdana Menteri.
Berbeza dengan Zahid Hamidi, walaupun kini merupakan Presiden UMNO, beliau dikatakan bukanlah merupakan calon Perdana Menteri pilihan.
Sebaliknya, jika gabungan UMNO dan Pas kembali menguasai kerajaan, Zahid Hamidi hanya akan kembali memegang jawatan lamanya iaitu Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, sama seperti Najib, halangan besar di depannya juga ialah penjara.
Malah dengan pertuduhan yang lebih banyak dihadapinya berbanding Najib, kemungkinan beliau lebih dulu atau lebih lama masuk penjara adalah paling mungkin sekali.
Jika keadaan itu berlaku, calon seterusnya untuk menjadi Perdana Menteri pilihan gabungan BN dan Pas ialah Tengku Razaleigh Hamzah yang kini memegang jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.
Ku Li dikatakan bukan saja satu-satunya calon yang dianggap lebih layak selain Najib, malah juga satu-satunya yang tiada masalah untuk diterima oleh Pas.
Berbanding pemimpin UMNO yang lain yang turut berkeinginan untuk menjadi Perdana Menteri, masalah mereka ialah tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Pas yang kini dianggap komponen penting dalam kempen menyatupadukan ummah yang ditaja kedua-dua parti itu.
Tidak mustahil jika pemimpin lain yang ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri, hubungan UMNO dengan Pas tidak lagi sekukuh seperti sekarang.
Hanya Najib atau Ku Li sebagai bakal Perdana Menteri yang bukan saja dapat diterima baik oleh Pas, tetapi juga dirasakan lebih baik untuk “dijual” kepada pengundi.
Masalahnya, baik Najib atau Ku Li, kedua-duanya adalah pemimpin yang paling tidak dikehendaki oleh Tun Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri.
Tetapi, dengan rating Tun Mahathir makin merosot di hati pengundi ketika ini, kekalnya beliau sehingga PRU15 juga akan memudahkan lagi kemenangan gabungan BN dan Pas untuk mengalahkan PH.
No comments:
Post a Comment