LANGSUNG | Perbicaraan terhadap perdana menteri Najib Abdul Razak bagi 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB memasuki hari pertama hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Malaysiakini membawakan laporan perbicaraan secara langsung.
10.15 pagi: Dua perbicaraan terhadap Najib berkaitan 1MDB dan SRC International menjejaskan keupayaan peguam untuk menyediakan pembelaan pada tahap terbaik.
Peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata ini kerana perbicaraan serentak melibatkan anak guam yang sama adalah tidak seperti peguam perlu berjalan kaki dari satu mahkamah ke mahkamah yang lain.
"Kami perlu menyediakan pembelaan kami di rumah, sediakan untuk penghujahan bertulis dan untuk pemeriksaan balas.
"Maaf cakap, ini bukan seperti doktor, yang datang ke klinik, lihat pesakit, rawat pesakit, mereka tidak bawa pulang pesakit ke rumah.
"Peguam membawa pulang kerja mereka. Kadang-kadang kita tidak tidur. Dengan perbicaraan SRC sendiri pun, ramai di antara kami kurang tidur.
"Untuk tambah satu lagi (perbicaraan 1MDB yang berjalan serentak dengan perbicaraan SRC) boleh menjejaskan kemampuan kami untuk melakukan pembelaan terbaik," kata Shafee pada sidang media selepas prosiding.
Hakim putuskan perbicaraan 1MDB bermula Isnin depan
Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu setelah mendengar dari pihak pendakwa dan peguam bela bahawa perbicaraan tidak dapat dimulakan hari ini berikutan beberapa sebab.
Antara isu yang dinyatakan Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram (gambar) termasuk hak statutori peguam untuk meneliti keterangan saksi sekurang-kurangnya 14 hari, yang mana pihak pendakwaan hanya dapat menyerahkannya pada Jumaat lalu.
Beliau juga menyebut bahawa pihak pendakwaan hampir menyelesaikan kes mereka dalam perbicaraan SRC International.
Beliau kemudian memerintahkan pendakwa menyediakan kenyataan pembukaan dan saksi pada tarikh itu.
Najib memasuki mahkamah
9.23 pagi: Perbicaraan bermula
9 pagi: Tertuduh, Najib Razak, memasuki mahkamah dan mengambil tempat duduk di barisan depan galeri awam.
Barisan peguam Najib juga dilihat sudah berada di mahkamah.
Hampir
setahun selepas menghadapi pertuduhan, perbicaraan terhadap Najib Razak
atas tuduhan menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram sebanyak
RM2.28 bilion berkaitan dana 1MDB akan bermula hari ini.
Najib berhadapan 25 tuduhan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, khususnya sumbangan RM2.6 bilion yang didakwanya diterima sebagai derma.
Empat pertuduhan adalah atas tuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi memperoleh RM2.28 bilion daripada 1MDB.
Baki 21 tuduhan lagi adalah pengubahan wang haram melalui penerimaan, perbelanjaan dan pemulangan sumbangan RM2.08 bilion (seperti yang dinilai pada masa itu) dari Tanore Finance Corporation.
Bagaimanapun, difahamkan bahawa pihak pendakwaan dengan sokongan pihak pembelaan akan cuba memohon agar perbicaraan itu dijadualkan semula.
Antara sebabnya adalah untuk membenarkan perbicaraan berkaitan SRC International di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali selesai dengan saksi pendakwaan terakhir memberi keterangan iaitu pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain.
Selain itu, pihak pendakwaan hanya dapat menyampaikan kenyataan saksi dalam kes 1MDB kepada pasukan peguam bela Jumaat lalu.
Di bawah Kanun Prosedur Jenayah, kenyataan saksi hendaklah disampaikan kepada pihak pembelaan selewat-lewatnya 14 hari sebelum perbicaraan, kecuali jika dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
Bergantung kepada keputusan permohonan di hadapan Sequerah, pasukan peguam Najib akan memaklumkan kepada Nazlan hari ini untuk memberitahunya tentang perkembangan tersebut, dengan kemungkinan bahawa kes SRC mungkin diteruskan hari ini.
No comments:
Post a Comment