Thursday, August 8, 2019

Hari ini cakap penyatuan ummah, esok lompat, sindir Najib


   
Bekas perdana menteri Najib Abdul Razak berkata Umno-PAS perlu kekal konsisten dan tidak boleh berubah mengikut keadaan politik semasa.

Katanya, kedua-dua parti itu tidak perlu melayan sekiranya Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad cuba mengambil peluang penyatuan ummah demi menyelamatkan beliau dan partinya (Bersatu).

“Yang mesti kita perlu kekalkan persefahaman. Itu dah merupakan komitmen kita.
“Takkan hari ini kita katakan penyatuan ummah, esok kita lompat ke tempat lain pula.

“Orang tak akan percaya pada Umno,” katanya di Wacana Ilmu “Hard Truth: Cash is King” di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, malam tadi.

Mengulas saranan Dr Mahathir yang meminta semua parti Melayu perlu bersatu di Mesyuarat Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini, Najib mengatakan Umno tidak boleh berubah mengikut keadaan semasa.

“Orang kata Umno ini parti yang fikir pada keadaan pada ketika itu sahaja. Cari kesempatan sahaja tak ada ikhlas.

“Kita tak boleh ada orang syak kita sebagai parti tak ikhlas parti yang cuma fikir tentang kepentingan dia,” katanya.

“Jadi, kita peru melihat sebagai parti yang konsisten insya-Allah kalau kita kekalkan inilah komitmen kita inilah landasan kita sampai PRU15 kita mengubah jangan berubah,” tambah beliau dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Sementara itu, Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat BN memberitahu beliau tidak akan campur tangan membuat sebarang keputusan sekiranya Mahathir kembali menyertai Umno.

“Saya serahkan kepada ahli parti untuk membuat keputusan,” katanya ketika menjawab soalan daripada wakil NGO Nadir Malaysia yang meminta pandangan Najib sekiranya Mahathir mahu menyertai semula Umno.

Namun, para hadirin bersorak “Mahathir tidak boleh diterima semula,” membalas pandangan Najib.

Ada tauke baru?

Dalam pada itu, Najib tidak menolak kemungkinan beberapa bekas ahli kabinet BN sudah mempunyai ‘tauke’ baru.

“Saya tak berubah. Mungkin mereka yang berubah.

“Tak pasti, mungkin ada tangan ghaib di belakang mereka,” katanya ketika ditanya tindakan beberapa pemimpin kabinet khususnya Khairy Jamaluddin dan Nazri Aziz yang setia bersamanya sebelum PRU14 dan kini mula mengkritik secara terbuka selepas kalah dalam pilihan raya.

Khairy Jamaluddin (kiri) dan Nazri Aziz 
“Ada disebut dalam mantra politik iaitu no permanent friends, no permanent enemies, only common interest. (Tiada kawan selamanya, tiada musuh selamanya, hanya kepentingan bersama.)

“Saya syak mereka ada tauke baharu. Orang macam ini, rakyat sendiri akan menilai, mereka sebenarnya merosakkan diri sendiri. Kita kena ada maruah dan prinsip dalam politik,” tambah ahli parlimen Pekan itu.

No comments: