MP Kuantan beri fakta tak tepat isu Lynas, lebih sentimen politik
BANGI
– Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mengkritik tindakan
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang membuat pusingan U berhubung
operasi kilang nadir bumi, Lynas Corporation Ltd (Lynas).
Presiden Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham
Abdul Aziz berkata, Fuziah dilihat seolah-olah menegakkan benang yang
basah apabila enggan menerima kebenaran, bahkan turut menuding jari
kepada pihak lain termasuk rakan-rakannya dalam kerajaan Pakatan Harapan
(PH).
“Tidak hairanlah banyak pihak termasuk
mereka yang bersamanya dahulu (kenyataan Pengerusi ‘Save Malaysia Stop
Lynas’, Tan Bun Teet yang disiarkan oleh Malay Mail 1 Ogos lalu),
menyatakan kemenangan beberapa penentang Lynas seperti YB Fuziah dalam
pilihan raya lalu adalah kerana menunggang isu Lynas,” kata beliau dalam
satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Badhrulhisham
menyifatkan banyak kenyataan Fuziah berhubung isu Lynas dibuat
berdasarkan fakta dan maklumat yang tidak tepat serta berasaskan
sentimen politik.
“Ini disokong dengan fakta bahawa kilang
itu adalah kilang pemprosesan mineral dan kimia, bukan kilang nuklear
atau penjana tenaga nuklear; tidak ada penambahan kadar radioaktif
semasa pemprosesan; pemantauan berterusan aktiviti radioaktif (oleh AELB
dan UMP) telah diperakui dibawah kadar yang selamat dan banyak lagi
yang disokong oleh fakta-fakta yang diyakini.
“Berdasarkan laporan itu yang
mengambilkira pemantauan, pandangan dan fakta-fakta agensi penguatkuasa
seperti AELB, JAS dan lain-lain serta pandangan pakar-pakar tempatan dan
antarabangsa, turut menyokong yang sisa itu tidak merbahaya sebagaimana
yang digembar-gemburkan,” katanya.
Selain itu, Dr Badhrulhisham yang juga
pakar rujuk pemprosesan nadir bumi menyifatkan gesaan Fuziah supaya sisa
mengandungi bahan radioaktif daripada kilang Lynas dihantar ke negara
asal sekalipun kadar radiasinya mungkin rendah amat janggal kerana ia
bukan amalan di seluruh dunia.
“Jika tidak semua sisa hasil daripada
pemprosesan getah, kelapa sawit, bauksit, timah dan lain-lain eksport
Malaysia akan dikembalikan ke negara kita. Ini tidak pernah berlaku
sehingga hari ini,” katanya.
Sebelum ini, Fuziah yang terkesan dengan
kritikan negatif rakyat Malaysia akhirnya membuka mulut menjelaskan
situasi sebenar Lynas dengan mendakwa kerajaan tersepit kerana pihak
yang mendapat manfaat hasil nadir bumi yang diproses kilang itu ialah
Jepun.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri sebelum ini adalah antara yang lantang
mengkritik Lynas dan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai
punca hutang negara terlalu tinggi sehingga menekan negara meminjam wang
daripada Jepun.
Kerajaan dilaporkan akan mengumumkan keputusan memperbaharui lesen operasi Lynas di Gebeng selewat-lewatnya 15 Ogos ini.
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam
Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kerajaan juga akan
mengumumkan keputusan sama ada pembuangan sisa radioaktif daripada loji
pemprosesan Lynas perlu dihantar ke negara asal Australia atau
sebaliknya.
Bagaimanapun, Reuters yang memetik sumber
dalaman melaporkan bahawa kerajaan bercadang untuk menyambung lesen
operasi Lynas untuk menjalankan operasi pemprosesan nadir buminya di
negara ini.
Tempoh sambungan itu adalah lebih singkat berbanding tempoh tiga tahun yang diberikan sebelum ini.
No comments:
Post a Comment