Wednesday, August 7, 2019

Berpuluh warga Nigeria didakwa atas kesalahan imigresen, serang polis

Sebahagian daripada warga Nigeria di Mahkamah Majistret 
Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA: Sepuluh warga Nigeria hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyerang anggota polis dan merusuh dalam satu serbuan di sebuah pangsapuri di sini, bulan lalu.

Mereka yang berusia 22 hingga 37 tahun itu didakwa mengganggu ketenteraman awam dengan merusuh pada 25 Julai lalu dan mendatangkan kecederaan serta menakutkan 4 anggota polis di Flora Damansara.

Masing-masing didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, Seksyen 332 serta 353 kerana menyerang dan intimidasi, kesalahan yang membawa hukuman penjara antara 2 hingga 3 tahun serta denda.

Sementara itu, 6 lagi warga Nigeria didakwa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Sekumpulan 14 warga Nigeria yang lain mengaku bersalah kerana tinggal lebih masa dan mereka boleh didenda maksimum RM10,000 dan dipenjara sehingga 5 tahun.

Majistret, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menolak permohonan ikat jamin dan menetapkan 5 September untuk sebutan semula kes.

“Ia adalah tanggungjawab anda sebagai peguam untuk membuktikan mereka tidak bersalah,” katanya menolak permohonan peguam, M Tharuma Ratnam untuk ikat jamin.

Pada 25 Julai lalu, seorang pegawai dan 3 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya diserang ketika cuba menahan seorang lelaki Nigeria yang disyaki terbabit dalam skim penipuan Afrika.

Kejadian itu mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin yang berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mereka yang melanggar undang-undang atau menghalang polis menjalankan tugas.

No comments: