JOHOR BAHRU: Jumaah Majlis Diraja Johor meminta pihak tidak
bertanggungjawab menghentikan perbuatan menjual tanda kemuliaan dan
kebesaran Johor melalui laman media sosial.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli hari
ini berkata pihaknya menerima beberapa maklumat terdapat pihak tidak
bertanggungjawab mengiklankan penjualan tanda kemuliaan dan kebesaran
Johor antaranya Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan Pingat
Kemahkotaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor di laman media
sosial.
“Jumaah memandang berat perkara ini. Tanda kemuliaan dan kebesaran
Johor adalah kurniaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dengan tilik
pandang baginda yang amat limpah atas jasa, kesetiaan tidak berbelah
bahagi dan perkhidmatan cemerlang mereka kepada Raja, negeri dan rakyat.
“Tanda kemuliaan itu tidak sepatutnya diperniagakan atau disalahgunakan
untuk tujuan keuntungan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Abdul Rahim berkata Jumaah Majlis Diraja Johor mengingatkan orang ramai
bahawa kerajaan negeri Johor telah memperundangkan Enakmen Lambang,
Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017
berkuat kuasa 13 Mac 2017.
Beliau berkata Fasal 3 enakmen itu memperuntukkan mana-mana orang yang
menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah Sultan Johor bagi
maksud perdagangan, perniagaan atau apa-apa tujuan sosial atau
persendirian tanpa kebenaran bertulis daripada Raja, adalah melakukan
satu kesalahan.
Katanya, apabila disabitkan kesalahan itu, pihak yang tidak
bertanggungjawab boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak
melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang
daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
No comments:
Post a Comment