Thursday, February 15, 2018

Anifah Nafi Jemput Delegasi Israel Semasa WUF9



 

 MYNEWSHUB
 


PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri menafikan mengundang diplomat Israel ke Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, penyertaan Israel ke WUF9 adalah berdasarkan jemputan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya iaitu Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) selaku penganjur program.

“Kita ingin jelaskan, penyertaan Israel adalah berdasarkan jemputan dikeluarkan oleh PBB dan ini selaras dengan Host Country Agreement yang ditandatangani di antara organisasi itu dan Malaysia.

“Perjanjian itu antara lain menyatakan, penyertaan dalam forum berkenaan dibuka kepada seluruh keanggotaan PBB dan mana-mana Agensi Khususnya (Specialized Agency),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak terdiri daripada wakil parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menyatakan rasa kecewa dan mengecam tindakan kerajaan yang membenarkan kemasukan diplomat Israel ke negara ini bagi mengikuti forum tersebut.

Diplomat Israel, David Roet turut mendakwa penyertaan delegasi dari negara itu ke program WUF tersebut mendapat kebenaran Malaysia selepas menerima tekanan diplomatik sehingga ke pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Sehubungan itu, Anifah memaklumkan, pendirian Malaysia terhadap Israel tidak berubah dan sebarang penyataan sebaliknya berhubung perkara itu hanya sekadar berniat jahat dan berbahaya.

“Harus diingat, pelbagai pihak menyatakan WUF9 dikelolakan dengan jayanya di mana ia menyaksikan peningkatan profil serta mencerminkan pencapaian Malaysia dalam mempromosi, menyuara serta melaksanakan agenda bandar baharu.

“Malah forum ini juga mendapat penyertaan lebih 25,000 orang membabitkan perwakilan dari 69 negara di peringkat menteri dan rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan kejayaan negara menganjurkan forum ini,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC

LIHAT VIDEO DI SINI

 

No comments: