KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar tudung jenama Naelofar, NH Prima
International Sdn Bhd memohon maaf atas kontroversi majlis sambutan hari
jadi ke-29 aktres dan pengacara popular, Neelofa serta pelancaran
koleksi hijab Be Lofa di pusat hiburan Zouk di sini, kelmarin.
Pengarah Urusannya, Noor Nabila Mohd Noor berkata, syarikat memohon
maaf terutama kepada penyokong kuat jenama Naelofar dan semua individu
yang terjejas dengan insiden itu.
"Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara istimewa untuk jenama
kami, menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.
"Sepanjang majlis pada malam itu, kami mengambil langkah berjaga-jaga
untuk memastikan apa-apa jenama dan botol minuman keras, gelas serta
perkakas diasing dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat terbabit
sebelum majlis berlangsung.
"Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup serta merokok dilarang sama
sekali sepanjang majlis berkenaan," katanya dipetik BH Online.
Isnin lalu, majlis sambutan hari jadi Neelofa dan pelancaran koleksi
tudung baharu Be Lofa yang dianjurkan NH Prima International di Zouk,
dikecam netizen kerana dikatakan tidak sesuai dengan imej pelakon dan
pengacara popular itu yang bergelar Hajah.
Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk mufti dan pertubuhan Islam
menyuarakan pandangan serta nasihat kepada Neelofa termasuk memintanya
bertaubat.
Noor Nabila yang juga kakak kepada Neelofa berkata, syarikat turut
mendapatkan khidmat katering untuk menyajikan makanan halal sepanjang
majlis.
"Semua perkakas termasuk sudu, garpu dan gelas yang digunakan tetamu disediakan syarikat katering terbabit," katanya.
Noor Nabila berkata, syarikat membuat keputusan mengadakan majlis
pelancaran di Zouk kerana kemudahan yang ditawarkan di pusat hiburan
itu.
"Mereka menawarkan ruang untuk disewa sebagai tempat acara pada setiap
Ahad dan Isnin kerana premis berkenaan tidak dibuka untuk kunjungan
umum.
"Selain itu, sistem pencahayaan yang memberi efek neon, sistem bunyi,
paparan LED dan sokongan teknikal adalah antara kemudahan yang
diperlukan untuk menjayakan majlis itu.
"Semuanya didatangkan dalam satu pakej yang ditawarkan pihak terbabit," katanya.
Noor Nabila yang juga isteri kepada pelakon, Sharnaaz Ahmad berkata,
pihaknya mengambil langkah segera bagi membetulkan keadaan sebaik
kontroversi tercetus.
"Tiada yang lebih penting daripada mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua.
"Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini. Kami
akan menggunakannya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelak
insiden sama berulang," katanya.
Noor Nabila memberi jaminan syarikat akan memastikan isu keagamaan dan
kebudayaan dititikberatkan dalam setiap keputusan yang dibuat pada masa
depan.
"Kami amat berharap agar diberi peluang untuk memperbaiki diri dan memperbetulkan keadaan," katanya.
No comments:
Post a Comment