Friday, February 23, 2018

PBRS gagal tepati janji selesai masalah bekalan air bersih di Pensiangan


Oleh

Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) – BN gagal melaksanakan tugasnya dengan baik di Pensiangan apabila projek sistem air graviti bernilai RM380,000 di bawah Peruntukkan Program Mesra Rakyat yang diumumkannya sejak Disember 2017 lalu masih belum siap sebagaimana yang dijanjikan.

Projek sistem air graviti yang sepatutnya digunakan sepenuhnya Januari lalu masih gagal berfungsi akibat bahan binaan yang tidak berkualiti dan struktur binaan yang tidak sesuai dakwa penduduk yang ditemui dalam program temu mesra DAP baru-baru ini.

Keadaan ini telah menyebabkan penduduk Kg Sodomon, Kg Mailo, Kg Marasak, Kg Panoi dan Kg Marapuk berasa kecewa kerana diselubungi masalah bekalan air yang dihadapi sejak sekian lama.

Apa yang menimbulkan persoalan, penduduk juga mempersoalkan nilai peruntukkan projek yang dianggap tidak setara dengan hasil projek.

Penduduk turut menzahirkan rasa kecewa apabila Ahli Parlimen Pensiangan yang diwakili oleh Tan Sri Joseph Kurup hanya mampu menjanjikan projek air graviti melalui peruntukan kerajaan berbanding projek bekalan air bersih terawat di mukim berkenaan.

Keprihatinan DAP yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat di Pensiangan pula telah menyebabkan BN semakin tertekan.

Justeru tidak hairan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu baru-baru ini dilapor media tempatan membidas usaha murni DAP membantu penduduk menyelesaikan masalah bekalan air bersih di Mukim berkenaan.

Menurut Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang, sudah tiba masanya PBRS-BN yang mewakili kawasan berkenaan mengakui kegagalan sistem penyampaian kerajaan di daerah pedalaman tersebut.

“Sudah tiba masanya, PBRS sebagai wakil kerajaan di Pensiangan khususnya, mengakui kegagalan tersebut dan menerima keputusan rakyat yang inginkan perubahan.

“Jangan menggunakan bantuan kerajaan sebagai ugutan dan menafikan hak rakyat yang sebenarnya penentu kepada masa hadapan negara,” katanya lagi.

Adrian yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah berkata, DAP akan terus memberi perhatian ke atas masalah yang dihadapi rakyat khususnya bagi mengatasi isu kemudahan asas di pedalaman. – Roketkini.com


No comments: