DETIK DAILY
Oleh Lanh
THAI umum pilihan raya Nov '18 - demikian tajuk utama berita sebuah
akhbar tanah air tidak lama dulu. Intro berita itu berbunyi: Thailand
akan mengadakan pilihan raya umum pada November 2018, menurut Perdana
Menterinya Prayuth Chan-o-cha.
Selain Thailand, sebagai jiran terdekat, banyak lagi negara maju dan
sedang membangun seperti Pakistan dan Indonesia awal-awal lagi sudah
menetapkan tarikh pilihan raya lama sebelum ia berlangsung. Pendeknya,
sejak awal lagi tarikh itu telah di'booking' (tempah) - jadi tidaklah
banyak pihak dan orang perseorangan 'jadi susah' dibuatnya.
Malah negara yang mendabik dada sebagai terhebat di dunia, Amerika
Syarikat juga sudah menetapkan tarikh pilihan raya lama sebelum ia
berlangsung. Amerika memilih tanggal awal November setiap empat tahun
sebagai tarikh pilihan raya.
Akan tetapi, di Malaysia, Perdana Menteri mempunyai kuasa memilih tarikh
pilihan raya. Mungkin setelah beliau berpuas hati bahawa semua keadaan
menguntungkan perikatan parti pemerintah BN, barulah beliau membuat
kepu- tusan untuk mengadakan pilihan raya.
Sekarang ini pelbagai pihak membuat andaian pilihan raya akan diadakan
dalam masa terdekat ini kerana telah wujud pelbagai 'feel good factor'
seperti pulangan dividen atau bonus tinggi bagi KWSP, Tabung Haji, malah
ekonomi dikatakan semakin kukuh termasuklah peningkatan nilai ringgit
berbanding dolar Amerika.
Di Malaysia kerana 'ada kuasanya' seseorang perdana menteri mengenai
tarikh pilihan raya menyebabkan banyak pihak dan orang perseorangan
kelam kabut apabila pilihan raya diadakan mengikut 'suka hati' beliau!
Bagi negara kita, umum mengetahui bahawa PRU mesti diadakan sebelum
tarikh akhir hayat Parlimen selepas kerajaan yang memerintah tamat
tempoh lima tahunnya. Bagaimanapun, tarikh PRU itu tidak diketahui, ia
boleh diadakan bila-bila masa sebelum tempoh itu tamat; ketidak-tentuan
tarikh pilihan raya inilah dilihat sebagai dieksploitasi oleh parti
pemerintah sementara bagi pembangkang ia banyak merugikan mereka.
Jika dilihat senario antarabangsa seperti yang telah dinyatakan,
kebanyakan negara demokrasi dunia mempunyai jadual pilihan rayanya.
Mungkin negara kita satu-satunya di mana ketua kerajaan (perdana
menteri) mempunyai hak menentukan tarikh pilihan raya.
Beliau berhak memanggil pilihan raya sekalipun tempoh mandat
pemerintahan lima tahun belum tamat. Namun biasanya pilihan raya
dilangsungkan pada ketika parti pemerintah yakin ia mendapat undi dan
sokongan kuat rakyat. Ia dilangsungkan pada ketika parti pemerintah
berada dalam keadaan kuat dan selesa.
Apabila perdana menteri sahaja yang tahu bila pilihan raya hendak
diadakan, beliau akan menggunakan kesempatan itu sepenuhnya. Sudah pasti
beliau menjurus untuk mengadakannya pada masa difikirkan paling sesuai
untuk kemenangan partinya sementara lawan pula berada dalam keadaan
huru-hara atau lebih teruk lagi 'nazak'.
Seorang tokoh politik pembangkang berkata sewajarnya perdana menteri
bersikap 'gentleman' atau dalam bahasa Melayu pasarnya 'anak jantan'
dengan mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal dan bukannya berahsia.
Katanya, pengisytiharan awal tarikh pilihan raya akan memberi peluang
adil kepada semua parti atau individu yang akan bertanding.
Teka-teki tarikh pilihan raya membayangi negara buat tempoh masa yang
panjang. Apabila diheboh-hebohkan akan diadakan pilihan raya, sepanjang
tempoh ini dikhuatiri ‘politiking’ amat panas, menjadikan banyak kerja
dan perancangan bukan saja di pihak kerajaan tetapi rakyat tergendala.
Misalnya, perbahasan hangat terjadi agar pilihan raya tidak
dilangsungkan pada waktu tertentu seperti musim haji atau musim
tengkujuh (banjir); semua ini menyumbang kepada ketidak-tentuan yang
boleh membawa kepada pelbagai hal negatif seperti pembaziran masa dan
tenaga manusia. Dengan tiadanya tarikh PRU ditanda di kalendar, banyak
majlis seperti keramaian dan perkahwinan boleh terjejas dan menyusahkan
pelbagai pihak.
Sehubungan itu dilihat bahawa ada keperluan mendesak untuk meminda
undang-undang pilihan raya termasuklah menetapkan tarikh pilihan raya.
Apabila tarikh pilihan raya sudah ditetapkan awal, tidaklah urusan
pelbagai pihak tergugat akibat ketidak-tentuan itu seperti yang berlaku
sekarang ini!-http://lanh14.blogspot.my/
No comments:
Post a Comment