TANAH MERAH: Seramai 25 pelajar perempuan Sekolah Menengah Agama (SMA)
Maahad Ahmadi, Kampung Padang Siam di sini, terselamat selepas sebuah
rumah sewa yang dijadikan asrama pelajar terbabit musnah dalam kebakaran
pagi tadi.
Seorang pelajar Norfadhilah Amran, 18, berkata kejadian tersebut
berlaku pada pukul 4.30 pagi ketika dia dan dua pelajar sedang tidur di
ruang tamu asrama berkenaan manakala baki pelajar lain tidur di enam
bilik berasingan.
"Saya tersedar selepas terdengar bunyi beberapa letupan kecil di dapur
asrama sebelum melihat api sedang marak membakar bahagian dapur. Saya
terus mengejutkan pelajar lain untuk menyelamatkan diri," katanya ketika
ditemui pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.
Seorang lagi pelajar, Nuradriana Muhammad Zulkifli, 18, yang masih
trauma dengan kejadian itu berkata dia gagal menyelamatkan keperluan
sekolah termasuk buku, pakaian dan dokumen penting yang lain.
"Api marak dengan begitu cepat dan tidak pernah berlaku kebakaran di
kawasan ini sejak saya mula tinggal di sini kira-kira lima tahun lepas,"
katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Penolong
Penguasa Bomba Hanaffi Mohd berkata ketika tiba di tempat kejadian,
asrama jenis rumah papan separuh kekal itu sudah 70 peratus dijilat api.
"Tujuh anggota dan dua jentera mengambil masa kira-kira 10 minit untuk
mengawal kebakaran tersebut daripada merebak ke rumah lain.
"Pelajar yang tinggal di asrama berkenaan merupakan pelajar tingkatan
satu hingga enam sekolah menengah agama terbabit yang terletak kira-kira
500 meter dari tempat penginapan mereka dan pihak kami masih
menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran," katanya.
No comments:
Post a Comment