Saturday, February 24, 2018

Lafaz bai'ah PAS kekal untuk calon PRU14 - MSU

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
BANGI: Majlis Syura Ulama (MSU) PAS memutuskan untuk mengekalkan sumpah bai'ah ke atas calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. 
 
Setiausaha MSU, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh berkata, sumpah bai'ah itu juga tertakluk ke atas calon bukan Islam yang bertanding atas tiket parti itu menerusi blok ketiganya, Gagasan Sejahtera (GAGASAN). 
 
“MSU yang bersidang hari ini, kita menetapkan bai'ah tetap akan berlaku di dalam PAS. Yakni mana-mana calon yang bertanding menggunakan lambang PAS, mereka mesti melafazkan bai'ah. Sebagai janji mereka untuk mentaati segala syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh parti. 
 
“Begitu juga dengan calon-calon dalam kalangan masyarakat bukan Muslim. Mereka akan mengadakan ikrar, yakni janji mereka untuk dipatuhi segala syarak dan peraturan yang ditetapkan oleh parti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MSU di Bangi hari ini. 
 
Perkembangan terbaru ini memperlihatkan, PAS mahu memastikan calon yang bertanding mewakili parti itu kekal wala' kepada kepimpinan dan juga parti itu sekiranya memenangi PRU14 nanti.
 
Isu lafaz bai'ah PAS yang digunakan untuk mengikat wakil rakyat atau pemimpin pernah menjadi perdebatan secara terbuka selepas beberapa pimpinan kanan bertindak keluar parti.
 
Ditanya mengenai keputusan berhubung sumpah bai'ah talak tiga, Nik Zawawi berkata, sumpah berkenaan akan mengikut keperluan dan situasi politik negeri-negeri tertentu. 
 
“Kita telah selaraskan bai'ah bahawa ini satu lafaz sahaja yang akan dilafazkan. Kecuali sekiranya ada keperluan-keperluan yang difikirkan perlu bagi negeri-negeri tertentu. Maka MSU membenarkan kepada mereka untuk membuat sebarang penambahan. Penambahan yang akan dibuat ini mesti mendapat keizinan daripada MSU. 
 
“Itu terpulang kepada negeri, dan mereka mesti mengemukakan cadangan kepada MSU. Kemudian MSU akan lihat suasana yang akan berlaku. Waima perlu atau tidak perlu,” jelasnya. 
 
Sebelum ini, MSU PAS ada menyuarakan mahu mempertimbang untuk memansuhkan bai'ah talak tiga bagi calon pada PRU14 akan datang. 
 
Antara pimpinan dilihat hadir menghadiri mesyuarat itu, Pengerusinya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed. 


No comments: