Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Amanah tidak akan mempergunakan hukum-hakam agama
semata-mata untuk kepentingan politik sepertimana parti leluhurnya, PAS.
Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang berkata partinya sudah berpuas hati
jika calon pilihan raya umumnya menyatakan perakuan untuk taat setia
kepada perjuangan mereka.
"Kita di dalam Amanah ini tidak akan menggunakan hukum-hukum agama semata-mata untuk kepentingan politik.
"Lebih-lebih lagi bai'ah sumpah cerai talak tiga ini adalah sangat
berat kalau mengambil kira hukum di dalam agama, dan boleh masuk dalam
kategori terlarang.
"Kita memang tidak mungkin ingin melaksanakan bai'ah yang seperti itu,
cukup dengan hanya perakuan," katanya dalam satu temubual eksklusif
bersama Antarapos baru-baru ini.
Ahmad berkata demikian sebagai mengulas ketetapan yang dibuat Majlis
Syura Ulama (MSU) PAS pada Sabtu lalu untuk mengekalkan sumpah bai'ah
namun akan diselaraskan - termasuk lafaz taklik talak tiga kepada isteri
masing-masing.
Bagaimanapun lafaz taklik talak tiga hanya mengikut keperluan dan mesti mendapatkan kebenaran daripada MSU terlebih dahulu.
Mengulas lebih lanjut, Ahmad yang juga bekas naib presiden PAS itu
berkata Amanah memilih untuk 'percaya kepada calon' berbanding mengikat
mereka dengan sumpah bai'ah.
"Kalau kita percaya pada ahli kita jadi calon, hatta kalau buat aku
janji sekalip pun, ada juga orang keluar, jadi tiada guna juga.
"Yang penting adalah komitmen serta kepercayaan terhadap calon itu,
suruh dia bersedia untuk menghadapi segala macam (rintangan)," ujarnya
lagi.
Pimpinan PAS sebelum ini bertegas bai'ah yang dilafazkan calon PRU
memberi keyakinan dan mengingatkan kepada calon wakil rakyat itu sendiri
mengenai perjuangan sebenar PAS.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad berkata, lafaz sumpah baiah
itu dilakukan dengan kerelaan calon wakil rakyat yang turut menyedari
dan reda dengan balasan dilaknat, sekiranya melanggar perjanjian.
No comments:
Post a Comment