Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: PKR tidak tamak sehingga mahu menuntut jumlah kerusi DUN
paling banyak di Kelantan, namun permintaan parti itu dibuat seiring
dengan kemampuan yang dimiliki, tegas Pengerusi negerinya, Abdul Aziz
Abdul Kadir.
Abdul Aziz berkata, PKR pada ketika ini mempunyai 'kekuatan yang
setara' dengan rakan-rakan lain dalam Pakatan Harapan (PH), justeru
permintaan yang dibuat parti itu masih munasabah, apatah lagi ia
merupakan antara parti senior dalam gabungan berkenaan.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan seorang
ahli akar umbi PKR yang mengatakan parti itu tidak sepatutnya tamak
menuntut kerusi DUN di Kelantan, lantaran parti itu merupakan anggota
paling lemah dalam PH.
"Mungkin dia tengok bendera kita tak banyak...kalaulah bendera dan
bilangan jentera semasa pelancaran yang dijadikan ukuran, saya nafikan
100 peratus dakwaan tersebut," katanya kepada Antarapos.
"(Kekuatan) setara dengan parti-parti lain (dalam PH). Dan sekarang
kita kena ingat, kita bertanding atas nama PH, jadi tak boleh
'underrate' (pandang rendah) sana sini, kena sama-sama usaha," katanya
lagi.
Terdahulu, seorang pemimpin akar umbi PKR, Ahmad Syauqey Abdul Ghani
yang dipetik FMT berkata, PKR adalah anggota paling lemah dalam kalangan
PH di Kelantan, kerana 'ketinggalan' dari aspek kekuatan jentera
pilihan raya dan juga sokongan kewangan.
Justeru dakwanya, dengan 'kekangan' sedemikian, PKR selayaknya
bertanding paling banyak empat kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen
berdasarkan prestasi parti itu di negeri berkenaan.
Mengulas mengenai perkara itu, Abdul Aziz berkata, pandangan yang
disuarakan pemimpin berkenaan hanya 'mengikut perasaan' dan tidak
berlandaskan perkiraan sebenar situasi terkini.
"Kalau sebelum ini kita banding dengan PAS, mereka kerajaan negeri.
Umno pula kerajaan pusat. Tapi sekarang ini kita punya jentera.
"Kita datang, masa Keadilan (PKR) ditubuhkan 1999, PAS dah ada kerajaan
di Kelantan, jadi takkan kita nak minta kerusi banyak sebab dia dah ada
wakil rakyat, takkan kita nak minta tempat wakil rakyat dia...kita
boleh terima lima kerusi.
"Tapi ini sekarang, kita umpama membina rumah, kita mahu bersama-sama
membina rumah yang belum ada lagi. Seboleh-bolehnya, (PKR minta)
sembilan atau sepuluh, itu yang paling tinggi," katanya lagi.
Dalam pada itu ujarnya, PKR bersifat lapang dada sungguhpun
diperuntukkan dua kerusi Parlimen, berkurang daripada tiga yang
diperuntukkan sebelum ini, sekaligus membuktikan mereka tidak tamak.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, PKR bertanding lima
kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen. Bagaimanapun parti itu hanya menang
di Guchil di peringkat negeri, manakala tewas di ketiga-tiga kerusi
Parlimen yang ditandinginya.
Mengulas mengenai rundingan kerusi di Kelantan, Abdul Aziz berkata ia
masih dalam proses, dan keputusan sama ada ia akan dimuktamadkan di
peringkat negeri atau perlu dibawa ke peringkat pusat diserahkan
sepenuhnya kepada Pengerusi PH negeri, Husam Musa. PKR
No comments:
Post a Comment