KUANTAN: Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) maut
manakala tiga rakan sekampusnya cedera selepas kenderaan Mitsubishi
Pajero yang dinaiki terbabas sebelum memasuki parit di Kilometer 154
Jalan Kuantan-Johor Bahru dekat Rompin semalam.
Mangsa, Che Muhammad Shahninsyawal Che Shahdam, 20, yang merupakan
penumpang belakang sebelah kiri meninggal dunia di tempat kejadian dalam
kemalangan pada pukul 7.15 malam itu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor
berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan dari arah Kuantan yang dalam
perjalanan pulang ke Johor terbabas ketika cuba mengelak kenderaan yang
dipercayai memotong dari arah depan.
"Berikutan itu, pemandu hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke dalam
parit menyebabkan semua penumpang cedera termasuk mangsa maut.
"Dua rakan mangsa dirawat di Hospital Rompin manakala seorang lagi
dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk rawatan
lanjut," katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, semua mangsa beralamat di Kelantan dan siasatan lanjut
diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
No comments:
Post a Comment