Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: 'Janganlah terus-terusan marahkan parti kami', demikian kata
seorang ahli Amanah kepada presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ia merujuk kepada kenyataan Hadi hari ini bahawa parti serpihannya itu
wujud sekadar untuk memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu serta
memberi talian hayat kepada Umno apabila nekad mahu bertanding di kerusi
yang menjadi tradisi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, kenyataan Hadi
itu sama sekali tidak benar kerana bukan Amanah sahaja yang mahu
bertanding di kerusi-kerusi yang ditandingi PAS.
"Ada tempat yang PKR akan bertanding, PPBM bertanding dan ada juga
tempat yang Amanah akan bertanding, jadi jangan marah kepada Amanah
sahaja, bukan Amanah sahaja yang akan bertanding di kesemua kerusi yang
PAS bertanding itu.
"Dalam sistem demokrasi sesiapa sahaja bebas apabila dibubarkan
parlimen untuk menamakan dirinya, malahan orang perseorangan juga boleh,
bukan sahaja parti, dia boleh bertanding sebagai calon bebas.
"Jadi jangan ada usaha menyekat sesiapa untuk bertanding dalam PRU ini," katanya kepada Antarapos.
Hadi dalam wawancaranya bersama Mingguan Malaysia hari ini berkata,
jika Amanah mahu masuk ke dalam parti politik dan melawan Umno, kenapa
parti itu 'sibuk' meletakkan calon mereka di kerusi PAS yang telah
menjadi tradisi pertandingan Umno-PAS sejak puluhan tahun.
Malah Ahli Parlimen Marang itu juga berkata Amanah adalah hasil ijtihad
yang salah daripada campur tangan pihak luar terhadap politik Malaysia
dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tetapi
sekarang ibarat laksana melukut di tepi gantang sahaja.
Mengulas lanjut, Anuar berkata pandangan Hadi itu sama sekali tidak
benar malah berkata Hadi yang bersungguh-sungguh menghalau mereka pada
suatu ketika dahulu dan mahu mereka membuat satu 'platform' baru.
"Bukankah dia (Hadi) orang yang bersungguh-sungguh menghalau kami
keluar dahulu? Bersungguh-sungguh mahu kami keluar dan buat platform
sendiri?
"Mereka yang telah memecah-belahkan perpaduan yang telah wujud di kalangan rakyat menerusi Pakatan Rakyat dahulu.
"Kami muncul untuk mengembalikan kesatuan rakyat dengan sama-sama mewujudkan Pakatan Harapan," ujarnya lagi.
Amanah ditubuhkan pada 2015 oleh sebahagian bekas pemimpin PAS yang
tidak sealiran dengan kepimpinan parti di bawah teraju Hadi.
Untuk rekod, setakat ini parti itu mempunyai 13 wakil rakyat yang memenangi kerusi atas tiket PAS pada PRU13 lalu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa,
Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid
Samad (Shah Alam), Mohamed Hanipa Maidin (Sepang) dan Datuk Raja Kamarul
Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu)
Selain itu, tujuh ADUN Amanah ialah Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk
Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Klang),
Hasnul Baharuddin (Morib), Datuk Husam Musa (Salor) dan Syed Hamid Syed
Mohamed (Kuala Semantan).
No comments:
Post a Comment