DETIK DAILY
SIK: PAS bukan parti bermusim yang masuk pilihan raya untuk kuasa atau
jawatan, tetapi juga adalah gerakan Islam di mana mempunyai
tanggungjawab berat mahu menyelamatkan akidah umat dan mensejahterakan
sejagat melalui pemerintahan Islam.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid
menegaskan perkara demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan
Fastaqim PAS Kawasan Sik di Tapak Pasar Malam Gulau, di sini kelmarin.
Sehubungan itu katanya, PAS berdakwah kepada rakyat Malaysia melalui
saluran politik agar mendapat mandat kuasa kerajaan supaya Islam dapat
dilaksanakan di bumi Malaysia sesuai dengan perintah Allah.
Membangunkan motivasi para pendukung PAS, beliau menegaskan, sikit atau
banyak ahli bukan menjadi ukuran, kerana sirah perjuangan Nabi S.A.W dan
para Sahabat R.A yang kecil bilangan mampu menewaskan bala tentera
besar dengan izin Allah.
PAS katanya, sudah melalui pengalaman panjang jatuh bangun naik turun
dalam arena politik negara sejak sekian lama menang dan kalah serta
memerintah, termasuk dijatuhkan.
Malah PAS akuinya, sangat faham akan sepak terajang dunia politik
berbanding parti lain yang mendabik dada kononnya merekalah terhebat,
walhal usia mereka baru setahun jagung.
"Sudah menjadi sunah perjuangan, gerakan Islam ini akan sentiasa
difitnah, dicerca, dimaki dan dimusuhi oleh golongan munafik dan kuffar
yang tidak senang dengan kedudukan Islam," peringatnya.
Namun begitu ujarnya, PAS kini sudah kehadapan dan meninggalkan
parti-parti lain jauh ke belakang menerusi pendekatan Budaya Politik
Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagas dan diamalkan.
Menurut beliau, ramai pengundi-pengundi Umno berjaya didekati bersama
pengundi atas pagar untuk hadir ke program-program PAS seperti
disaksikan pada himpunan tersebut dan berharap diterjemah ke kertas
undi.
PAS tambahnya, akan terus memainkan peranan dalam politik tanahair
selagi Islam masih tidak ditegakkan dan akan mengambil kuasa
pemerintahan jika kerajaan yang ada gagal meninggikan agama Allah.
No comments:
Post a Comment