DETIK DAILY
Oleh AILMI ZAKARYA
SIK: Penyertaan ramai anak muda pada konvoi motosikal sempena Himpunan
Fastaqim PAS Peringkat Kawasan Sik memberi isyarat sokongan dan bukti
jelas bahawa PAS tidak kehilangan sokongan anak muda.
Yang DiPertua PAS Sik, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, malah petunjuk
itu sekali gus menjawab tohmahan dan fitnah musuh PAS bahawa semakin
ramai lari meninggalkan parti ini terutama menyeberang ke PH.
Himpunan julung kali dianjurkan itu telah menarik penyertaan ramai anak
muda dengan konvoi motosikal diketuai oleh ARC Sik pimpinan Ustaz Subhi
Tauher, selain kehadiran penduduk awam termasuk ahli-ahli Umno.
Perkara itu terang Sanusi, menjadi hakikat sebenar di seluruh negara
yang dapat diukur dengan pertambahan keahlian PAS setiap bulan,
sedangkan parti politik lain tidak berupaya menzahirkan hitungan angka
jelas pada program mereka.
Lebih lagi menurutnya, apabila kekuatan sama turut berlaku di Sik yakni
Parlimen luar bandar dan kekurangan dari banyak kemudahan, menjadi
petanda betapa mesej perjuangan PAS sampai dan diterima di seluruh
pelusuk negara.
Maklum beliau, anak muda yang terlibat pada program tersebut juga bukan
semata-mata memeriahkan aturcara dan majlis, tetapi adalah tenaga
penggerak konvoi serta himpunan.
Paling utama ujarnya, mereka adalah dalam kalangan bakal pengundi pada
PRU14 nanti di mana telah tersenarai sebagai pemilih dan sangat bertekad
untuk mendukung perubahan kepada pemerintahan Islam.
No comments:
Post a Comment