Thursday, February 1, 2018

Najib dicabar batalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya



Najib dicabar batalkan persempadanan semula kawasan pilihan raya



Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dicabar untuk membatalkan semua persempadanan kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Shamsul Iskandar Mohd Akin

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Najib memberi jaminan sistem pengundian dalam pilihan raya negara ini telah ditambah baik menjadi lebih telus dan tidak memungkinkan akan berlaku penipuan adalah sandiwara BN.

“Apakah Najib selaku Perdana Menteri bersedia untuk tidak membentangkan cadangan persempadanan semula yang telah dibuat walaupun terdapat bantahan daripada ratusan ribu para pengundi dan tidak mengikut prinsip-prinsip asap persempadanan di dalam perlembagaan serta persempadanan yang bersifat perkauman ?,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.

Najib dalam kenyataan pada Selasa, berkata sistem pengundian yang ada sekarang jauh lebih baik berbanding ketika zaman bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad dahulu.

Dalam masa yang sama,Najib turut menyifatkan tindakan Dr Mahathir dan Pakatan Harapan mengadu kepada diplomat Kesatuan Eropah serta menuntut kehadiran pemantau antarabangsa dalam PRU 14 akan datang sebagai tindakan tersepit dan cubaan untuk mendapatkan bantuan kuasa asing.

Kenyataan yang dibuat oleh Najib kononnya tiada penipuan yang akan berlaku pada PRU 14 nanti merupakan kenyataan yang sarat dengan sandiwara.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil berkata, menjadi satu rahsia umum bahawa pelbagai helah dan taktik kotor sedang giat direkayasa sebelum berlangsungnya PRU14.

“Ianya termasuklah dengan rancangan persempadanan semula yang ternyata berat sebelah, bersifat perkauman dan melanggar amalan demokrasi sihat.

“Saya telah membuat laporan polis pada pagi semalam hasil penelitian rang daftar pemilih tambahan yang terbaru menunjukkan pemindahan pengundi secara terancang dan terancang itu bila mana ratusan pengundi menggunakan alamat palsu untuk berada di lokaliti yang tidak mereka diami.

“Ini jelas adanya usaha untuk memenangi semula Parlimen Bukit Katil dengan helah yang jahat,” ujarnya.

No comments: