Walaupun Chong Chieng Jen menolak untuk memberi sebarang komen mengenai Ragad dan dua anaknya sebagai Melanau, beliau bagaimanapun mempersoalkan kelajuan kerajaan negeri untuk mempercepatkan permohonan empat beranak itu untuk mendapat status Bumiputera.
“Ada beratus ribu rakyat Sarawak yang belum ada kad pengenalan dan sijil kelahiran,” kata Chong.
Katanya, pagi tadi, beliau ke perpustakaan mahkamah di Kuching untuk mencari Warta Kerajaan bagi mengesahkan salinan warta itu yang telah pun tular di media sosial.
Chong yang juga Naib Pengerusi Pakatan Harapan mendakwa masih ada banyak lagi permohonan “rakyat Sarawak sebenar” di meja Setiausaha Kerajaan Negeri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, menunggu untuk disahkan status mereka.
“Kenapa dia tak boleh luluskan?”
Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata Morshidi dan kerajaan negeri “patut cekap dan pantas” dalam memproses permohonan “rakyat yang lahir di Sarawak” yang tidak ada kad pengenalan, berbanding mementingkan Ragad.
Tambah Chong lagi, pasangan rakyat Sarawak yang telah menetap di negeri itu selama “20 ke 30 tahun pun belum dalam status penduduk tetap.”
Ragad, 37, kelahiran Syria yang berkahwin dengan Taib Mahmud dan dua anak lelaki mereka, Nizar Mahmoud Madi dan Sam Mahmoud Madi diiktiraf sebagai Melanau di bawah seksyen 20 Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992 dan peraturan 17F Mahkamah Anak Negeri, 1993.
Pada 24 Julai lalu, Mahkamah Anak Negeri di Kuching menerbitkan status mereka sebagai “peribumi Sarawak” sebelum digazetkan pada 9 November lalu.
Melanau merupakan etnik kelima terbesar di Sarawak yang menetap terutamanya di pantai sekitar Mukah.
Chong berkata beliau tidak tahu menahu sama ada Ragad dan anaknya boleh bertutur bahasa Melanau atau faham dengan adat istiadat Melanau.
Bagaimanapun, beliau menekankan, sebagai penduduk peribumi, “statusnya (Ragad) lebih tinggi dari saya.”
“Dia ada lebih hak berbanding rata-rata rakyat Sarawak.”
Dalam pada itu, Adun Pujut Dr Ting Tiong Choon berkata yang beliau tidak akan membantah pemberian status kerakyatan Malaysia kepada Ragad dan anaknya itu.
Tetapi, beliau tidak bersetuju dengan pemberian status penduduk peribumi terhadap tiga beranak itu.
“Sebagai rakyat, mereka boleh beri banyak sumbangan kepada masyarakat.
“Tetapi, sebagai peribumi, tidak sama sekali.”
Dr Ting yang mengalami nasib sukar untuk mendapatkan status penduduk tetap buat isteri Taiwan beliau turut mempersoalkan kerajaan yang mempercepatkan permohonan isteri dan anak Taib Mahmud itu.
“Macam mana pula dengan beribu-ribu anak-anak yang tak ada negeri yang lahir di sini (Sarawak), membesar di sini dan masih tidak ada identiti (kad pengenalan, sijil kelahiran)?
“Lawak jenis apa ni?”
Dalam pencariannya pagi tadi, Chong turut mendapati yang Ragad telah mendaftar sebagai pengundi di DUN Pantai Damai dan Parlimen Santubong. –
No comments:
Post a Comment