Friday, February 2, 2018

Najib bayangkan PRU14 sebelum Julai ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi bayangan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan diadakan sebelum 14 Julai ini.
 
Perdana menteri berkata, bakal haji akan menyambut dua “raya” terlebih dahulu, sebelum bertolak ke Mekah untuk menunaikan Rukun Islam Kelima.
 
“14 Julai bererti dua peristiwa akan terlepas. Pertamanya, Hari Raya Aidilfitri dan hari raya satu lagi. Dua-dua raya baru tuan-tuan naik haji, tapi kita buat lebih awal supaya tuan-tuan semat dalam hati.
 
“Kalau kerajaan kita masih kekal, insya Allah tuan-tuan dapat tunai fardhu haji dengan baik, dengan selesa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Fardhu Haji kepada 1,200 penerima haji tajaan Yayasan 1MDB di Masjid Putra.
 
Dalam perkembangan lain, Najib menjelaskan RM42 bilion yang didakwa “lesap” sebenarnya ialah hutang 1MDB.
 
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai tidak memfitnah syarikat milik Kementerian Kewangan itu sehingga tidak nampak kebaikannya.
 
“Janganlah kata RM42 bilion ‘lesap’. RM42 bilion tak lesap, itu hutang…hutang boleh kita lunaskan dengan aset yang lebih daripada hutang.
 
“Kalau ada tak betul, kita betulkan. Kalau ada kepincangan, kita ambil tindakan tetapi janganlah kita fitnah bukan-bukan.”
 
Sementara itu, Najib turut menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa menyebut namanya.
 
“Kerugian RM31 bilion forex (tukaran wang asing) itu lebih besar pada negara zaman siapa?
 
“Dalam zaman orang kata kononnya haji 1MDB ini tak mabrur, tuhan tak terima,” katanya sambil berterima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana memberi penjelasan mengenai perkara terbabit sebelum ini.
 
Pada 1 Januari 2017, pengerusi PPBM itu dilaporkan berkata, jemaah yang menunaikan ibadat haji menggunakan wang 1MBD, tidak akan mendapat haji mabrur kerana wang haram yang dikatakan dicuri Najib.
 
Tahun lalu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam laporan setebal 400 muka surat menyalahkan bekas penasihat Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung bank pusat itu dalam urus niaga forex pada 1992 hingga 1994.
 
RCI itu percaya Dr Mahathir merelakan tindakan menteri kewangan ketika itu yang mengakibatkan BNM mengalami kerugian RM31.5 bilion.
 
 

No comments: