Friday, February 2, 2018

Parti komponen PH gaduh bukti Dr M tiada pengaruh - Noh Omar

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mendapat kembali kuasa yang pernah dimilikinya ketika berada dalam Umno, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar. 
 
Noh berkata Dr Mahathir sebelum ini mendapat sokongan bulat dari pimpinan serta ahli akar umbi Umno BN dan bukannya seperti apa yang diterimanya dalam Pakatan Harapan (PH) kini.
 
Pengerusi PH itu melalui saat sukar apabila tidak semua buah fikirannya diterima begitu sahaja bahkan terpaksa berhempas pulas meyakinkan empat parti komponen untuk menyokongnya, ujar Noh.
 
"Tun Mahathir kena ingat, sebab apa dulu dia kuat? Dia kuat kerana sokongan Umno. Kekuatan dia bukan kerana dia (Dr Mahathir), tapi kerana sokongan yang padu yang Umno beri. 
 
"Hari ini dia (Dr Mahathir) nak memimpin parti baru, kita lihat bagaimana penghormatan yang dia dapat daripada ahli-ahlinya sendiri? Bergaduh sana sini," katanya kepada Antarapos.
 
Dr Mahathir kini diuji dengan ahli akar umbi empat parti komponen PH memberontak serta membantah agihan kerusi sesama mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Bermula dengan Amanah Johor memboikot Konvensyen ke-2 PH di Shah Alam 7 Januari lalu, gagasan itu dikejutkan dengan kekecohan oleh PPBM Negeri Sembilan ketika Konvensyen PH negeri itu minggu lalu.
 
Dr Mahathir juga cuba menyelesaikan polemik agih kerusi di Selangor yang hinggi kini belum dimuktamadkan, dengan mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas untuk tujuan itu.
 
Pun begitu, kepimpinan PKR Selangor berkeras untuk menggunapakai Jawatankuasa Pilihan Raya selagi tidak mendapat arahan daripada pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Besar Selangor.     
 
Dalam pada itu, Noh berkata hasrat Dr Mahathir yang mahu membawa budaya Umno ke dalam PH tidak akan berjaya kerana setiap komponen parti itu membawa ideologi yang berbeza.
 
"Jadi kerana Umno ni kita ditanam budaya, (iaitu) budaya menghormati kerusi. Kerusi presiden, timbalan presiden, siapa juga yang duduk di kerusi itu mestilah kita kena hormat dan beri sokongan padu. 
 
"Tapi saya tengok kalau Tun Mahathir nak bawa budaya Umno ke parti lain dia mungkin tak berjaya," ujarnya.


No comments: