Oleh Athirah Hanapiah
PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk
'campur tangan' dan memberikan bantuan kepada mana-mana negeri yang
masih gagal memuktamadkan rundingan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) nanti.
Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu
bagi mengelakkan permasalahan berkenaan terus membelenggu gabungan itu
sehingga mampu memberikan kesan kepada persediaan untuk PRU nanti.
"Ada negeri yang dapat selesaikan sebahagian, bagus, tetapi kalau
mereka kata mereka tidak dapat selesaikan dan memerlukan penglibatan
'team' rundingan nasional untuk membantu menyelesaikan masalah, itu juga
tidak jadi masalah," katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan
majlis pelancaran tabung derma PPBM, di ibu pejabatnya , di sini hari
ini.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat PH Kelantan
yang ingin membawa masalah berkaitan pembahagian kerusi DUN antara parti
komponen negeri itu yang menemui jalan buntu.
"...Sebagai contoh di Kelantan, (mereka) memaklumkan kepada Ketua
Setiausaha PH Datuk Saifuddin Abdullah memberitahu bahawa kami sudah
berunding kerusi, sudah selesai agihan kerusi yang berbaki ini tidak
dapat selesaikan kerana proses rundingan agak begitu hangat dan
sebagainya, maka minta supaya pusat menguruskannya, maka pusat akan
duduk bersama-sama dengan negeri untuk menyelesaikan rundingan.
"Itu keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden PH, bukan sahaja
di Kelantan, kalau negeri lain juga memerlukan kerjasama, campur tangan
atau bantuan team nasional untuk berunding melibatkan pemimpin-pemimpin
yang ada di peringkat pusat, itu kami alu-alukan.
"Saya fikir wajar supaya ia tidak tertangguh sampai ke suatu peringkat
ia tidak dapat diselesaikan, ini akan membawa kepada satu kesulitan
kepada parti-parti di dalam PH," katanya lagi.
PH Kelantan sebelum ini dilaporkan gagal menyelesaikan masalah
pertindihan bagi 14 kerusi DUN walaupun sudah enam kali mengadakan
pertemuan, sehingga melepasi tempoh asal yang ditetapkan.
Antaranya sembilan kerusi melibatkan pertindihan antara Amanah dan
PPBM, tiga kerusi menjadi rebutan antara Amanah dan PKR dan dua kerusi
antara PPBM dan PKR.
Selain Kelantan, Selangor juga masih gagal memuktamadkan soal rundingan kerusi sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment