TAMPIN: Pemandu traktor mesin rumput yang dipercayai menyebabkan
kematian seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Tuanku Abdul Rahman dekat Gemas di sini, semalam, dibebaskan dengan
jaminan polis hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Abd Razak,
siasatan awal terhadap lelaki berusia 26 tahun itu mendapati tiada unsur
jenayah yang menyebabkan kematian Nur Afini Roslan, serta dua murid
lain yang cedera.
Bagaimanapun ujarnya, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 304, Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.
"Siasatan meliputi pelbagai sudut termasuk melihat bagaimana bilah pisau mesin rumput daripada traktor berkenaan boleh patah.
"Selain itu, kita menyiasat bagaimana lantunan mata bilah berkenaan
boleh sampai kepada mangsa yang berada pada jarak agak jauh," katanya
ketika dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu katanya, polis akan bekerjasama dengan agensi yang
berkepakaran berhubung isu itu termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan
Jabatan Forensik bagi meneliti punca kejadian.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi semalam, mangsa bersama dua rakannya
Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, menjalani
latihan perbarisan sempena hari sukan sekolah yang sepatutnya
berlangsung hari ini.
Ketika mereka berada di padang sekolah, jentera berkenaan pada masa
sama menjalankan aktiviti memotong rumput sebelum mata bilah
terpelanting dan terkena mangsa.
Berikutan kejadian itu, Nur Afini mati di lokasi selepas kepalanya
terpotong dua, manakala Abdullah cedera di telinga kanan dan Mohd Farhan
Reza cedera di belakang kepala.
No comments:
Post a Comment