Wednesday, February 14, 2018

Jabatan Kesihatan ambil sampel susu

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Sabah mengesahkan menerima satu lagi aduan berkaitan sejenis susu didakwa tiruan sehingga menyebabkan masalah kesihatan kepada kanak-kanak atau bayi yang meminumnya.
 
Bagaimanapun, Pengarahnya, Datuk Christina Rundi, enggan mengulas lanjut dan menegaskan siasatan diteruskan.
 
"Setakat ini, ada sampel sudah diambil dan ada satu lagi aduan diterima dari daerah lain.
 
"Aduan diterima dari beberapa kawasan dan kita tidak akan mengulas secara berasingan mengenai isu ini sehingga siasatan menyeluruh dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
 
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Yahya Sujak, berkata pihaknya sudah menghubungi individu yang mendakwa anak saudaranya mengalami masalah kesihatan selepas minum susu itu, namun gagal mendapatkan susu terbabit sebagai bahan bukti.
 
"Semalam, pegawai kita cuba berhubung dengan individu itu dan minta penjelasan mengenai susu yang dibeli, namun mereka sudah membuangnya.
 
"Jika betul bahan bukti itu ada, kita akan bawa ke jabatan kimia untuk dianalisis," katanya sambil meminta orang ramai mengelak menyebar maklumat tidak sahih ke laman sosial, sebaliknya membawa bahan bukti kepada pihak berkuasa untuk disiasat.
 
Sebelum ini, seorang wanita memuat naik status di Facebook mendakwa anak saudaranya mengalami demam, cirit-birit, muntah dan bengkak badan selepas meminum susu dibeli dari sebuah pasar raya di Kota Belud.
 
 

No comments: