SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak layak menjadi pemimpin, kata Amanah Selangor.
Kenyataan itu dibuat Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim, ekoran
kegagalan Menteri Besar Selangor itu menangani isu membabitkan
pengagihan kerusi negeri itu.
Katanya lagi, Azmin mempunyai pemikiran silo, satu sikap negatif dalam seseorang pemimpin.
Malah Izham turut memberitahu, jawatankuasa pilihan raya pakatan
pembangkang tidak pernah membincangkan pengagihan kerusi seperti yang
didakwa Azmin.
"Tindakan menuduh PAN (Amanah) sebagai tidak amanah dan penipu tidak
sepatutnya dilakukan olehnya (Mohamed Azmin), yang juga rakan dalam
Pakatan Harapan.
"Kami tidak menafikan ada empat mesyuarat (yang dijalankan
Jawatankuasa Pilihan Raya) sebelum ini tetapi mereka hanya membincangkan
persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.
"Dalam mesyuarat, wakil parti berbincang mengenai hal pilihan raya dan bukan mengenai pengagihan kerusi.
"Mereka tidak diberi mandat untuk membincangkan pengagihan kerusi.
Wakil kami sentiasa menyatakan setiap kali mesyuarat diadakan," katanya
dipetik BH online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin yang
menggelar Amanah sebagai penipu dan sebuah parti yang tidak amanah
apabila mengatakan pakatan pembangkang masih belum membincangkan
pengagihan kerusi.
Izham berkata, Amanah turut menulis surat kepada Pengerusi PH Selangor
itu dan memintanya membincangkan mekanisme untuk menangani isu
pengagihan kerusi tetapi Mohamed Azmin masih belum memberi maklum balas.
"Beliau mendakwa 80 peratus daripada kerusi yang sudah diputuskan
tetapi kami (PAN) tidak tahu menahu mengenai perkara ini. Mohamed Azmin
tidak pernah membincangkan isu dengan parti komponen sebaliknya memilih
untuk bertindak sendirian," katanya.
No comments:
Post a Comment